Soalan Lazim
Pemindahan Hak Milik Untuk Pendeposit Yang Telah Meniggal Dunia
- Siapakah yang dibenarkan untuk berurusan dengan Ejen Depositori Bertauliah (ADA)/syarikat broker saham/bank pelaburan berkenaan akaun CDS pendeposit yang telah meninggal dunia?
Berikut ialah individu yang diberi kuasa untuk berhubung dengan mana-mana ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan dalam hal pertanyaan baki sekuriti, penutupan akaun, penggantungan akaun dan pemindahan sekuriti:
- Waris (benefisiari) yang dinamakan dalam Perintah Pembahagian (Borang E, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang di keluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah) atau Surat Arahan daripada Amanah Raya Berhad; atau
- Seseorang yang dilantik sebagai Wasi (Pelaksana) atau Pentadbir menurut Pemberian Probet atau Surat Kuasa Mentadbir.
- Bolehkah akaun CDS pendeposit yang meninggal dunia digantung?
Ya. Wasi, Pentadbir, atau waris (benefisiari) bagi pendeposit yang telah meninggal boleh mengemukakan permohonan untuk menggantung akaun CDS pendeposit yang telah meninggaldunia dengan n mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti berikut di mana-mana ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan:
- Borang Permohonan Penggantungan/Pelepasan Penggantungan Sekuriti yang telah dilengkapkan. Borang ini boleh dicetak di laman sesawang Bursa Malaysia di pautan berikut: https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/central_depository_system/cds_forms
- Salinan sijil kematian pendeposit yang telah meninggal dunia yang telah disahkan benar;
- Salinan kad pengenalan/pasport Wasi (perlaksana), Pentadbir atau benefisiari yang telah disahkan benar; dan
- Salinan Geran Probet (Grant of Probate) atau Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration) –atau Borang E, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang di keluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah atau Surat Arahan daripada Amanah Raya Berhad. yang telah disahkan benar.
Borang Permohonan Penggantungan/Pelepasan Penggantungan Sekuriti hendaklah dilengkapkan di hadapan mana-mana pegawai bertauliah (sebagai saksi) di ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan atau Notari Awam (Notary Public) atau Peguam Bela & Peguam Cara atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa ADA/syarikat broker saham di Malaysia. Dokumen-dokumen tersebut hendaklah disahkan (Certified True Copy) oleh pegawai atau individu yang menjadi saksi semasa borang Permohonan Penggantungan / Pelepasan Penggantungan Sekuriti dilengkapkan.
- Apakah prosedur untuk memindahkan sekuriti dari akaun CDS pendeposit yang telah meninggal dunia kepada akaun CDS Wasi (pelaksana), Pentadbir atau Benefisiari?
Prosedurnya adalah seperti berikut:
Wasi atau Pentadbir yang dilantik menurut melalui Pemberian Geran Probet (“GOP”) atau Surat Kuasa Mentadbir (“LA”) atau Benefisiari yang dinamakan – di Jadual II dalam Borang E, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang di keluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah atau atau Surat Arahan daripada Amanah Raya Berhad wajib hadir i di hadapan pegawai yang diberi kuasa ADA/syarikat broker saham dan mengemukakan dokumen-dokumen berikut untuk pengesahan serta melengkapkan borang Notification of Death of Depositor (Borang A):
Salinan asal atau salinan sijil kematian yang telah disahkan (certified true copy) oleh Notari Awam (Notary Public) atau Peguam Bela & Peguam Cara;
Salinan asal atau salinan GOP, LA, Perintah Pembahagian (Borang E Surat Kuasa dari Bahagian Pesaka Kecil) atau Surat Arahan daripada Amanah Raya Berhad yang telah disahkan (certified true copy) oleh Notari Awam (Notary Public) atau Peguam Bela & Peguam Cara; dan
Kad Pengenalan/pasport asal Wasi (pelaksana), Pentadbir atau Benefisiari yang dinamakan dalammana-mana item ii di atas.
Nota: GOP atau LA yang diperoleh daripada mahkamah atau pihak berkuasa dalam bidang kuasa Komanwel di luar Malaysia mesti dimeterai semula dengan sewajarnya di Mahkamah Tinggi Malaysia dan dokumen sokongan yang dinyatakan dalam perkara (i) hingga (iii) mesti disempurnakan di hadapan Notari Awam atau Peguam Bela & Peguam Cara.
- Membuat pembayaran yuran pemprosesan sebanyak RM50 (bagi setiap permohonan) dan RM10.00 yuran pemindahan (bagi setiap sekuriti) melalui perbankan dalam talian.. Jumlah keseluruhan bayaran dan maklumat akaun bank penerima bayaran akan dimaklumkan oleh pegawai CDS ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan yang memproses dokumen di tersebut. Resit pembayaran dalam talian perlu diserahkan kepada pegawai tersebut sebagai bukti pembayaran.
- Bagaimanakah jika Pelaksana (Wasi), Pentadbir atau benefisiari tidak dapat hadir ke mana-mana ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan untuk melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan?
Jika Wasi (Pelaksana), Pentadbir, atau Benefisiari tidak dapat hadir ke mana-mana ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan untuk melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan atas alasan tertentu, mereka boleh menulis surat kepada ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan untuk memohon pengecualian kehadiran mereka di pejabat ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan yang dipilih.
- Bagaimanakah jika Pelaksana (Wasi), Pentadbir atau Benefisiari menetap di luar Malaysia?
Jika Wasi (Pelaksana), Pentadbir atau eBenefisiari menetap di luar Malaysia, mereka boleh menulis surat kepada mana-mana ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan yang dipilih bagi pengecualian kehadiran mereka di pejabat ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan. ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan akan menghubungi Wasi (Pelaksana), Pentadbir atau Benefisiari untuk memaklumkan prosedur yang perlu mereka ikuti.
- Bolehkah maklumat yang berkaitan dengan akaun CDS atau pegangan sekuriti berkenaan pendeposit yang telah meninggal dunia didedahkan kepada mana-mana individu yang masih belum dilantik sebagai Wakil Diri untuk tujuan memohon:
(i) Pemberian Probet atau Surat Kuasa Mentadbir daripada Mahkamah;
(ii) Arahan Pembahagian (Borang E) daripada Bahagian Pesaka Kecil, Pejabat Tanah; atau;
(iii) Surat Arahan daripada Amanah Raya Berhad?Tidak. Selaras dengan peruntukan kerahsiaan di bawah Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (“SICDA”), Bursa Depository atau mana-mana ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan dilarang daripada mendedahkan sebarang maklumat mengenai pendeposit seperti baki sekuriti, nombor akaun CDS, atau sebarang butiran lain pendeposit yang ada dengan Bursa Depository. Pendedahan maklumat sedemikian hanya boleh dibuat selaras dengan peruntukan pendedahan yang dibenarkan dalam SICDA, dan kepada wakil diri pendeposit yang telah meninggal dunia yang dilantik secara sah.
- Adakah saya perlu menyediakan senarai penuh sekuriti semasa memohon Pemberian Probet, Surat Kuasa Mentadbir, Perintah Pembahagian (Borang E – Surat Kuasa dari Bahagian Pesaka Kecil) atau Surat Arahan daripada Amanah Raya Berhad?
Pemohon atau waris dinasihatkan untuk meletakkan perkataan “Saham-saham di Bursa Malaysia Berhad” semasa membuat permohonan Geran Probet (Grant of Probate) atau Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration) di makamah berkaitan pemilikan saham pelabur yang telah meninggal dunia.
Bagi permohonan untuk mendapatkan Borang E (Surat Kuasa daripada Bahagian Pesaka Kecil, Pejabat Tanah) atau Surat Arahan daripada Amanah Raya Berhad, waris/pemohon perlu menyenaraikan saham milik pelabur dan mengemukakan Penyata Akaun CDS sebagai bukti pemilikan saham pelabur yang telah meninggal dunia.
- Bolehkah saham pendeposit yang telah meninggal dunia dipindahkan secara terus ke dalam akaun CDS pihak ketiga atas kebenaran Pentadbir, Pelaksana (Wasi) atau Benefisiari?
Pentadbir, Pelaksana(Wasi) boleh memindahkan saham orang yang telah meninggal dunia secara terus ke akaun CDS pihak ketiga dengan memberi arahan didalam borang “Notification of Death of Depositor (Form A)”.
Walaubagaimanapun, bagi Benefisiari yang dinamakan dalam Jadual II dalam Borang E, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 yang di keluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah atau Surat Arahan daripada Amanah Raya Berhad, saham pelabur yang telah meninggal dunia hanya boleh dipindahkan kepada nama Banefisiari yang tertera di dalam dokumen tersebut.
- Bagaimanakah cara menjual saham milik pendeposit yang telah meninggal dunia?
Saham milik pendeposit yang telah meninggal dunia tidak boleh dijual sehingga saham tersebut dipindahkan ke dalam akaun CDS Wasi (Pelaksana), Pentadbir atau Benefisiari. Setelah selesai proses pemindahan saham, barulah penerima saham boleh meminta remisier atau dealer di ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan untuk menjual saham tersebut berdasarkan status saham tersebut samada masih disenaraikan atau tidak disenaraikan di Bursa Malaysia.
- Sebagai Wasi (Pelaksana) Pentadbir atau Benefisiari, adakah saya perlu membuat permohonan untuk Pemindahan Hak Milik Saham untuk pelabur yang telah meninggal dunia di ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan dimana tempat pelabur yang telah meninggal dunia membuka akaun CDS?
Tidak. Anda boleh membuat permohonan Pemindahan Hak Milik Saham untuk pendeposit yang telah meninggal dunia di mana-mana ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan di Malaysia.
- Apakah alamat perniagaan dan nombor telefon ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan?
Sila klik pautan di bawah dan anda akan dihubungkan ke laman sesawang kami yang mengandungi alamat perniagaan termasuk nombor telefon ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan. https://www.bursamalaysia.com/trade/trading_resources/brokers_for_equities/list_of_participating_organisations