Soalan Lazim
Sekuriti Dinyahsenarai
Bagi Pendeposit
- Apakah yang akan berlaku kepada sekuriti yang dinyahsenarai dalam akaun CDS saya?
Sekuriti yang dinyahsenarai dalam akaun CDS anda akan terus didepositkan dengan Bursa Depository.
- Bolehkah saya menyimpan sekuriti yang dinyahsenarai dalam akaun CDS saya?
Ya. Anda boleh menyimpan sekuriti yang dinyahsenarai dalam akaun CDS anda.
- Apakah kelebihan menyimpan sekuriti yang dinyahsenarai dalam akaun CDS saya?
Sekuriti anda yang dinyahsenarai akan disimpan dalam keadaan yang selamat oleh Bursa Depository dan dapat mengelakkan keperluan untuk menyimpan sijil fizikal serta kemungkinan tersalah letak. Selain itu, anda juga akan terus menikmati semua kemudahan CDS yang diberikan oleh Bursa Depository kepada pemegang akaun CDS.
- Adakah saya akan dikenakan sebarang bayaran jika saya mengekalkan sekuriti yang dinyahsenarai dalam akaun CDS saya?
Pada masa ini, anda tidak tertakluk kepada sebarang bayaran untuk mengekalkan sekuriti yang dinyahsenarai disimpan dalam akaun CDS anda.
- Adakah saya dibenarkan untuk berdagang dengan sekuriti yang dinyahsenarai di bursa saham?
Tidak. Anda tidak dibenarkan berdagang dengan sekuriti yang telah dinyahsenarai oleh bursa saham.
- Adakah sekuriti yang dinyahsenarai dalam akaun CDS saya masih dipaparkan dalam penyata akaun CDS?
Ya. Sekuriti yang telah dinyahsenarai masih akan dipaparkan dalam penyata akaun CDS anda.
- Adakah saya akan terus menerima penyata akaun CDS saya jika ia hanya mengandungi sekuriti yang dinyahsenarai?
Ya. Anda akan terus menerima penyata akaun CDS anda setiap setengah tahun iaitu pada bulan Jun dan Disember.
- Adakah status akaun Tidak Aktif digunakan untuk akaun CDS yang hanya memegang sekuriti yang dinyahsenarai juga?
Ya. Akaun CDS yang hanya mengandungi sekuriti yang telah dinyahsenarai akan digelarkan sebagai Tidak Aktif jika tiada sebarang aktiviti CDS selama tiga puluh enam (36) bulan berturut-turut.
- Adakah saya dibenarkan untuk memindahkan sekuriti yang dinyahsenarai?
Ya. Anda dibenarkan untuk memindahkan sekuriti anda yang dinyahsenarai ke dalam akaun CDS lain atau akaun CDS pihak ketiga dengan mengemukakan Borang Permohonan Pemindahan Sekuriti (FTF010) yang telah dilengkapkan kepada ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan anda, di mana akaun CDS anda yang mengandungi sekuriti yang telah dinyahsenarai dikekalkan.
- Adakah pemindahan sekuriti yang dinyahsenarai tertakluk kepada alasan pemindahan yang diluluskan oleh Bursa Depository?
Tidak. Alasan yang diluluskan oleh Bursa Depository untuk pemindahan sekuriti hanya tertakluk kepada sekuriti tersenarai. Sekuriti yang dinyahsenarai tidak tertakluk kepada keperluan ini.
- Adakah saya dibenarkan untuk mengeluarkan sekuriti yang dinyahsenarai daripada akaun CDS saya?
Ya. Anda boleh mengeluarkan sekuriti yang dinyahsenarai daripada akaun CDS anda.
- Bagaimanakah cara untuk mengeluarkan sekuriti yang dinyahsenarai?
Anda perlu melakukan perkara berikut untuk mengeluarkan sekuriti yang dinyahsenarai:
Anda boleh meminta ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan untuk memastikan Pendaftar Saham bagi sekuriti yang dinyahsenarai ada;
Jika Pendaftar Saham masih ada, lengkapkan dan kemukakan borang Permohonan Pengeluaran Sekuriti (FWT010);
Lengkapkan dokumen Suratcara Pindahmilik yang telah dilekatkan dengan duti setem (jika berkenaan); dan
Serahkan borang FWT010, Surat Cara Pindah Milik yang telah dilengkapkan dan yuran pengeluaran yang dikenakan kepada ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan di mana akaun CDS anda diselengara untuk proses selanjutnya.
- Di manakah saya boleh mendapatkan borang Permohonan Pengeluaran Sekuriti (FWT010) dan dokumen Suratcara Pindahmilik?
Anda boleh mendapatkan kedua-dua borang Permohonan Pengeluaran Sekuriti (FWT010) dan Dokumen Suratcara Pindahmilik daripada ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan anda (rujuk di sini https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/central_depository_system/cds_forms).
- Berapakah kos untuk mengeluarkan sekuriti yang dinyahsenarai?
Pada masa ini, yuran pengeluaran ialah RM15 bagi setiap 1000 sekuriti atau sebahagian daripadanya. Di samping itu, terdapat juga caj duti setem untuk pengeluaran kepada nama pihak ketiga bagi menyempurnakan Suratcara Pindahmilik. Duti setem akan dikenakan mengikut kadar yang ditetapkan dalam Akta Setem 1949.
- Adakah saya layak menerima sebarang tindakan korporat yang diumumkan oleh syarikat yang dinyahsenarai pada masa hadapan?
Kelayakan anda untuk menerima sebarang tindakan korporat yang diumumkan oleh syarikat yang dinyahsenarai akan diputuskan oleh Penerbit.
- Apakah yang akan berlaku kepada sekuriti yang dinyahsenarai yang telah dicagarkan kepada bank?
Ini bergantung kepada urusan anda dengan pihak bank. Oleh itu, anda harus mendapatkan nasihat mereka mengenai perkara ini.
Untuk Penerbit
- Bolehkah memohon Rekod Pendeposit (“ROD”)?
Ya. Bursa Depository akan terus mengeluarkan ROD apabila menerima permohonan rasmi sama ada daripada Penerbit atau Pendaftar Saham. Ini tertakluk kepada pemohon membayar yuran ROD yang telah ditetapkan.
- Adakah bayaran akan dikenakan s jika mengekalkan sekuriti syarikat dalam CDS?
Amalan semasa akan terus dikekalkan.