Sistem Depositori Pusat (CDS)
Gambaran Keseluruhan
CDS adalah singkatan untuk "Sistem Depositori Pusat". Sistem Depositori Pusat adalah satu sistem yang dimiliki penuh dan dikendalikan oleh Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Malaysian Central Depository Sdn Bhd), sebuah anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Berhad.
Pelabur yang mahu berdagang dalam sekuriti yang disenaraikan Bursa Malaysia mesti membuka akaun CDS dengan Agen Depositori Bertauliah (ADA), i.e. syarikat broker saham. Sekuriti yang dibeli akan dikreditkan ke dalam akaun CDS yang telah dibuka oleh pelabur. Begitu juga sekuriti yang dijual akan didebitkan daripada akaun CDS.
Pelabur boleh menggunakan Sistem Depositori Pusat untuk memindahkan sekuriti daripada satu akaun CDS kepada satu akaun CDS yang lain, asalkan pemindahan tersebut berasaskan sebab yang diluluskan oleh Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd. Lain-lain transaksi yang boleh dilakukan oleh pendeposit menerusi Sistem Depositori Pusat adalah mendaftarkan maklumat akaun bank, mengemaskini butiran akaun, mengaktifkan semula akaun CDS, mendeposit sijil saham, mengeluarkan saham syarikat yang telah dinyahsenarai dan menutup akaun CDS.