Gambaran Keseluruhan
Latar Belakang Kami
TENTANG BURSA MALAYSIA
Kami menyediakan pelbagai peluang bagi mereka yang ingin berkembang atau melabur dengan lebih berkesan.
Bursa Malaysia merupakan syarikat pemegangan bursa yang diperbadankan pada tahun 1976 dan disenaraikan pada tahun 2005. Sebagai salah sebuah bursa terbesar di ASEAN, Bursa Malaysia membantu lebih daripada 900 syarikat dalam menjana modal – sama ada melalui Pasaran Utama bagi syarikat bermodal besar, Pasaran ACE bagi syarikat yang terdiri daripada pelbagai saiz, atau Pasaran LEAP bagi syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang sedang membangun.
Sebagai pasaran inklusif, Bursa Malaysia menyediakan akses mudah kepada pelbagai produk dan perkhidmatan pelaburan, menghubungkan peserta pasaran domestik dan luar negara kepada kepelbagaian peluang yang membolehkan semua peserta pasaran berkembang dan meraih keuntungan. Rangkaian produk Bursa Malaysia yang pelbagai merangkumi ekuiti, derivatif, aset luar pesisir dan patuh syariah seperti Dana Dagangan Bursa (ETFs), Amanah Pelaburan Hartanah (REITs), dan Bon dan Sukuk Dagangan Bursa (ETBS).
VISI KAMI
Pasaran terulung ASEAN, lestari dan mempunyai jalinan hubungan di peringkat global.
Dalam melangkah ke hadapan untuk mencapai visi ini, fokus kami tetap kekal dalam memberikan manfaat kepada pihak berkepentingan demi memenuhi komitmen kami - Mewujudkan Peluang, Meningkatkan Nilai Pelaburan.
Kami akan terus meluaskan jangkauan dan penawaran kami di samping memupuk ekosistem pasaran modal yang kondusif bagi membolehkan semua peserta pasaran berkembang dan meraih keuntungan. Kami akan terus berusaha dan berinovatif dalam meningkatkan atau merevolusikan produk dan perkhidmatan. Kami akan terus menerajui pembangunan pasaran mampan dengan menggalakkan pertumbuhan pelaburan secara bertanggungjawab di samping memudahkan penjanaan dana, penciptaan nilai dan kekayaan.
KEPELBAGAIAN. INOVATIF. MAMPAN.
Peneraju global dalam pasaran konvensional dan patuh Syariah.
Bursa Malaysia dikenali di peringkat global sebagai bursa yang terbaik dan inovatif dalam pelaburan patuh Syariah. Kecemerlangan ini dicapai memandangkan Bursa Malaysia telah menjadi perintis dalam mengetengahkan pelbagai inovasi dalam kewangan Islam, seperti Bursa Malaysia-i - platform pelaburan patuh Syariah yang pertama di dunia yang menyediakan suatu landskap baru yang membolehkan pelabur melabur dalam instrumen pelaburan dan cara yang patuh Syariah, dan Bursa Suq-Al-Sila’ – platform dagangan Murabahah komoditi global pertama di dunia.
Bursa Malaysia juga merupakan pusat dagangan terbesar dunia bagi niaga hadapan minyak sawit. Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) Bursa Malaysia telah lama diiktiraf dan dirujuk sebagai penanda aras harga global bagi industri minyak sawit.
Bursa Malaysia merupakan pasaran baru muncul yang terawal dalam memperkenalkan Indeks Bursa Malaysia FTSE4Good pada tahun 2014, iaitu penanda aras global yang mengukur prestasi syarikat yang menunjukkan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kukuh. Pada tahun 2015, Bursa Malaysia menyertai inisiatif United Nations Sustainable Stock Exchanges. Ini mengukuhkan lagi komitmen Bursa Malaysia bagi menggalakkan strategi lestari dalam kalangan penerbit dan peserta pasaran Bursa Malaysia.
KELEBIHAN KESALINGHUBUNGAN
Akses kepada punca ekonomi ASEAN dengan Bursa Malaysia
Sebagai nadi utama rantau ASEAN, Bursa Malaysia mempunyai pengaruh, pautan global dan keupayaan bagi memacu pasaran maju ke hadapan. Bursa Malaysia berada dalam kedudukan yang baik dan sesuai untuk menjana peluang yang terbaik bagi membantu pihak berkepentingan Bursa Malaysia – pelabur, pedagang, penerbit dan pemegang saham – dalam mencapai nilai dan pertumbuhan yang diinginkan.