Soalan Lazim
Soalan Lazim Tentang Wakaf
SSET 1: SOALAN LAZIM TENTANG WAKAF
- Apa itu wakaf?
Dalam perundangan Islam, Wakaf merupakan satu bentuk pembiayaan kebajikan apabila harta atau aset didermakan untuk kegunaan dan manfaat orang ramai. Wakaf diniatkan secara kekal dengan aset dipegang sebagai amanah dan pendapatan yang dijana daripada aset itu digunakan untuk tujuan kebajikan.
- Apakah tujuan wakaf?
Wakaf bertujuan meningkatkan kebajikan masyarakat dan memastikan kesinambungan projek atau inisiatif kebajikan. Pendapatan yang dijana daripada aset wakaf boleh digunakan untuk menyokong pelbagai projek seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan aktiviti keagamaan. Wakaf juga boleh membantu mengurangkan kemiskinan, menggiatkan pertumbuhan masyarakat, dan menyokong pembangunan sosioekonomi yang mampan.
- Apakah rukun dan syarat wakaf?
Rukun wakaf terbahagi kepada empat:
(i) Penderma wakaf (Waqif)
- Waqif boleh merupakan orang sebenar atau orang perundangan (legal person) dan mesti berhak secara sah untuk melupuskan asetnya.
- Kesahihan keputusan waqif yang dibuat oleh seseorang yang kompetensi undang-undangnya terhad kerana berhutang adalah tertakluk kepada pengesahan oleh pemiutangnya. Apabila pemiutang enggan atau menolak wakaf orang yang berhutang, wakaf tersebut menjadi tidak sah.
(ii) Aset wakaf (Mawquf)
Harta/aset hendaklah memenuhi syarat berikut:- Aset itu mestilah patuh Syariah.
- Aset Wakaf boleh wujud dalam pelbagai bentuk seperti hartanah, wang, sekuriti, atau sebarang aset berharga lain.
- Pendapatan yang dijana daripada penggunaan aset akan diagihkan kepada benefisiari yang dikenal pasti, sambil mengekalkan aset utama.
- Waqif hendaklah menjadi pemilik tunggal aset itu, tanpa ada orang lain yang mempunyai hak pelupusannya ketika penubuhan wakaf.
(iii) Benefisiari wakaf (Mawquf ‘alaih)
- Wakaf tidak boleh diwujudkan untuk tujuan yang dilarang oleh syarak.
- Benefisiari wakaf boleh merangkumi individu, kumpulan, atau masyarakat yang memerlukan, sama ada Muslim ataupun bukan Muslim.
- Dibolehkan berwakaf untuk kepentingan orang bukan Islam, dengan syarat tujuannya tidak melibatkan aktiviti yang bertentangan dengan prinsip Syariah.
(iv) Penyataan wakaf (Sighah)
- Wakaf boleh diwujudkan secara lisan, bertulis, atau dalam sebarang bentuk lain yang pada lazimnya dianggap sebagai pewujudan wakaf.
- Wakaf boleh diisytiharkan berkuat kuasa bermula pada suatu tarikh yang akan datang, seperti tarikh apabila penderma wakaf mengisytiharkan hartanya menjadi wakaf.
- Bagaimanakah wakaf berbeza berbanding dengan zakat?
Zakat ialah bayaran fardu yang wajib dibayar oleh orang Islam setiap tahun berdasarkan kekayaan mereka manakala wakaf ialah derma sukarela yang dibuat untuk tujuan kebajikan tertentu dan bertujuan menyediakan sokongan kewangan jangka panjang.
- Bagaimanakah wakaf diuruskan?
Wakaf diuruskan oleh pemegang amanah atau lembaga pemegang amanah yang bertanggungjawab memastikan aset wakaf disenggara dengan baik, manfaatnya digunakan untuk tujuan kebajikan yang ditetapkan dan sebarang pendapatan yang dijana daripada wakaf dilaburkan semula ke dalam wakaf.
- Bagaimanakah wakaf ditadbir di Malaysia?
Semua urusan wakaf terletak bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (“MAIN”), yang bertindak sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf. Di peringkat persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (“JAWHAR”), yang beroperasi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan, menyelia semua perkara berkaitan wakaf.
- Apakah peranan MAIN dalam pentadbiran wakaf?
MAIN bertanggungjawab menguruskan aset wakaf dan memastikannya digunakan mengikut prinsip Islam. Mereka juga mempunyai kuasa untuk mewujudkan wakaf baru dan meluluskan pemindahan aset wakaf.
- Apakah peranan JAWHAR dalam pentadbiran wakaf?
JAWHAR diamanahkan dengan tanggungjawab mengurus dan membangunkan aset wakaf, memberikan nasihat tentang penubuhan wakaf baharu, dan menggalakkan penggunaan wakaf untuk pembangunan sosial dan ekonomi.
- Bagaimanakah wakaf menggalakkan kebajikan sosial dan pembangunan sosioekonomi?
Aset wakaf boleh digunakan untuk membiayai dan menyokong inisiatif dan program kebajikan sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat. Inisiatif tersebut termasuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan sosial yang menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat yang terabai. Sehingga suatu tahap tertentu, dana wakaf boleh digunakan untuk menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman tanpa faedah bagi menubuhkan perniagaan kecil yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi tempatan.
SET 2: SOALAN LAZIM TENTANG AMANAH PELABURAN HARTANAH (“REIT”) DAN DANA DAGANGAN PERTUKARAN (“ETF”) BERCIRI WAKAF
- Apakah REIT Islam dan ETF Islam berciri wakaf?
REIT Islam atau ETF Islam berciri wakaf ialah dana tersenarai yang membolehkan pelabur mengekalkan hak pemilikan mereka pada unit yang dibeli sambil menderma kesemua atau sebahagian daripada pengagihan pendapatan daripada pelaburan mereka dalam REIT atau ETF untuk tujuan wakaf, iaitu disalurkan kepada inisiatif wakaf.
- Apakah struktur tipikal REIT atau ETF berciri wakaf?
- Siapa yang boleh membeli/melabur dalam REIT dan/atau ETF berciri wakaf?
Mana-mana individu (termasuk bukan Islam) atau pelabur institusi boleh membeli/melabur dalam REIT dan/atau ETF berciri wakaf dengan mudah melalui pasaran saham. Untuk melabur dalam dana ini, pelabur runcit dan institusi mesti mempunyai akaun Sistem Depositori Pusat (“CDS”) yang aktif dan akaun dagangan yang disenggara oleh broker untuk melabur.
- Apakah inisiatif dan/atau projek wakaf yang dikenal pasti?
Inisiatif dan/atau projek yang dikenal pasti oleh penerima/pentadbir wakaf (mutawalli) termasuk, tetapi tidak terhad kepada, inisiatif dan/atau projek yang memberi manfaat kepada kesejahteraan sosial sesebuah komuniti. Contoh inisiatif sedemikian termasuk pembinaan sekolah, masjid, hospital, dan rumah anak yatim yang membantu mengurangkan kemiskinan dan memacu pertumbuhan masyarakat.
- Siapakah yang bertanggungjawab menentukan pemilihan inisiatif dan/atau projek wakaf?
Penerima/pentadbir wakaf yang dilantik (mutawalli) menyelia penapisan, pemilihan, dan kelulusan inisiatif dan/atau projek wakaf yang dikenal pasti.
- Bagaimanakah pelabur boleh mendapatkan maklumat tentang inisiatif dan/atau projek wakaf?
Pelabur boleh mendapatkan maklumat tentang inisiatif dan/atau projek wakaf, termasuk maklumat tentang penerima/pentadbir wakaf (mutawalli) serta kemajuan inisiatif dan/atau projek wakaf tersebut daripada laman web syarikat pengurusan dana.
- Siapakah penerima wakaf yang layak untuk REIT atau ETF tersenarai berciri wakaf?
Menurut Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia tentang Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam, pengagihan wakaf mestilah hanya disalurkan kepada penerima berikut:
(i) Mana-mana Majlis Agama Islam Negeri (“MAIN”);
(ii) Mana-mana institusi atau organisasi yang diberi kuasa oleh MAIN untuk bertindak sebagai mutawalli (pentadbir wakaf) atau ejen kutipan bagi tujuan wakaf. - Berapakah jumlah agihan pendapatan daripada REIT dan/atau ETF berciri wakaf yang akan dibahagikan untuk disalurkan kepada penerima wakaf bagi tujuan wakaf?
Peratus agihan pendapatan yang dibahagikan untuk tujuan wakaf berbeza antara dana dan tertakluk kepada pengaturan wakaf masing-masing. Peratus pengagihan pendapatan yang dibahagikan untuk tujuan wakaf akan didedahkan dalam prospektus produk dan pendedahan lain yang berkaitan seperti yang dinyatakan dalam dokumen penawaran.
- Apakah yang perlu saya lakukan sebelum melabur dalam REIT dan/atau ETF berciri wakaf?
Pelabur dinasihatkan untuk memahami perkara-perkara berikut sebelum melabur:
- Maklumat tentang REIT dan/atau ETF berciri wakaf dan produk pendasar
- Objektif dan strategi pelaburan
- Pengagihan pendapatan/dividen berdasarkan polisi pengagihan yang dinyatakan dalam surat ikatan REIT dan prospektus ETF
- Yuran dan caj yang berkaitan dengan pembelian dan penjualan REIT dan/atau ETF berciri wakaf
- Maklumat dagangan berkaitan REIT dan ETF berciri wakaf
- Maklumat tentang syarikat pengurusan
- Apakah faedah melabur dalam REIT dan ETF berciri wakaf?
Terdapat beberapa faedah melabur dalam REIT dan ETF berciri wakaf, seperti:
- Menyokong pembangunan aset dan inisiatif dan/atau projek wakaf di Malaysia
- Memperoleh pulangan pelaburan yang mematuhi prinsip Syariah
- Mempelbagaikan portfolio pelaburan seseorang dan menguruskan risiko pelaburan
- Menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan mempromosikan nilai-nilai Islam
Untuk maklumat lanjut tentang produk REIT dan ETF serta Garis Panduan tentang Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam, sila layari pautan berikut:
Soalan Lazim terperinci tentang produk REIT am
https://www.bursamalaysia.com/reference/faqs/securities/faqs_on_real_estate_investment_trust
Soalan Lazim terperinci tentang produk ETF am
https://www.bursamalaysia.com/reference/faqs/securities/faqs_on_exchange_traded_funds
Garis Panduan Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam
https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=7279989d-00f8-4ebc-8c18-fbf6c260ab1a
Soalan Lazim – Garis Panduan Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam
https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=64333e59-90d6-4e63-a27a-103b8ef904ca