SOALAN LAZIM
Soalan Lazim mengenai ISSBNT
- 1. Apakah yang dimaksudkan dengan model ISSBNT yang telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (“SAC”) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”)?
Penjualan Dan Pembelian Sekuriti Islam - Transaksi Yang Dirundingkan [Islamic Securities Selling and Buying - Negotiated Transaction (“ISSBNT”)] ialah model patuh Syariah yang merupakan alternatif kepada model konvensional Pinjaman dan Memberi Pinjam Sekuriti - Transaksi Yang Dirundingkan [Securities Borrowing and Lending - Negotiated Transaction (“SBLNT”)].
Model ISSBNT menggunakan struktur dua transaksi bai` (jualan) mutlak yang mengandungi ciri-ciri wa`dan (dua janji yang diberikan secara unilateral/akujanji), khiyar al-shart (pilihan bersyarat) dan pemberian cagaran sebagai jaminan ke atas keberhutangan. Ciri-ciri ini diterangkan dengan lebih lanjut dalam Item 2 di bawah.
Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah memutuskan pada 26 Februari 2015 bahawa Model ISSBNT adalah dibenarkan (Ruj: Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 31 Disember 2018, halaman 39, yang boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=5f0c31dc-daa9-43c1-80ac-e7ecf70c8e44.
- 2. Apakah kriteria utama model ISSBNT yang telah diluluskan oleh SAC SC?
Kriteria utama model ISSBNT diterangkan dalam item 2.1 hingga 2.11 di bawah. Kriteria-kriteria ini mesti dipatuhi sebelum sesuatu transaksi boleh diklasifikasikan sebagai ISSBNT.
- 2.1 (Kriteria no. 1)
Setiap pemindahan sekuriti daripada pihak berkontrak utama kepada pihak berkontrak utama yang lain perlu dilakukan melalui kontrak jual beli (bai`). Model ISSBNT mencadangkan dua (2) transaksi jualan mutlak berikut:
- Cabang 1 – Pembekal Dibenarkan menjual sekuriti kepada Pengguna Dibenarkan pada harga jualan yang dipersetujui (Harga Jualan untuk Cabang 1) secara bertangguh; dan
- Cabang 2– Pengguna Dibenarkan menjual sekuriti yang sama atau setara kepada Pembekal Dibenarkan pada harga jualan yang dipersetujui (Harga Laksana [Exercise Price] untuk Cabang 2) secara tunai, mengikut Harga Jualan Cabang 2 yang lebih rendah berbanding Harga Jualan Cabang 1.
- 2.2 (Kriteria no. 2)
Pihak-pihak berkontrak yang utama dalam ISSBNT mesti melaksanakan wa’dan (dua janji unilateral atau akujanji), iaitu Wa’d 1 dan Wa’d 2, bagi mencerminkan komitmen mereka untuk menjalankan kewajipan tertentu seperti penjualan atau penyerahan sekuriti, pembelian atau penerimaan sekuriti dan membebaskan cagaran sepertimana yang dijanjikan apabila kontrak selesai dilaksanakan.
- 2.2 (a) Apakah Wa’d 1?
Wa’d 1 adalah janji unilateral/akujanji oleh Pembeli Dibenarkan untuk membeli atau menerima aset sekiranya Pengguna Dibenarkan menjual atau menyerahkan aset atau apabila berlaku peristiwa pencetus yang telah dipersetujui.
- 2.2 (b) Apakah Wa’d 2?
Wa’d 2 adalah janji unilateral/akujanji oleh Pengguna Dibenarkan untuk:
- melaksanakan Cabang 2 apabila diperoleh semula oleh Pembekal Dibenarkan atau apabila berlaku peristiwa pencetus yang dipersetujui;
- melaraskan nilai cagaran yang telah dijanjikan menurut harga pasaran sekuriti berdasarkan penandaan kepada pasaran.
- 2.3 (Kriteria no. 3)
Prinsip khiyar al-shart ialah pilihan bersyarat untuk membatalkan jualan yang telah dipersetujui dalam tempoh beberapa hari tertentu. Ia diaplikasikan dalam model ISSBNT di mana Pengguna Dibenarkan mungkin diberikan satu tempoh untuk membatalkan jualan Cabang 1 dan memulangkan sekuriti yang telah dibeli kepada Pembekal Dibenarkan tanpa melibatkan sebarang kos kepada Pembekal Dibenarkan dan Pengguna Dibenarkan. Untuk mengelakkan keraguan, dengan syarat Pengguna Dibenarkan adalah pemilik dan memegang hak milik sekuriti yang dibeli, ia berhak membuat pilihan (khiyar) ini berdasarkan pada terma dan syarat yang telah dipersetujui. Pengguna Dibenarkan mungkin kehilangan hak ini sekiranya ada perkara yang boleh menghalang Pengguna Dibenarkan daripada memulangkan sekuriti tersebut kepada Pembekal Dibenarkan, contohnya jika Pengguna Dibenarkan sudah pun melupuskan sekuriti yang dibeli.
- 2.4 (Kriteria no. 4)
Dalam model ISSBNT, sekuriti yang dijual melalui Cabang 1 dan Cabang 2 dianggap sebagai aset jualan yang berbeza. Set sekuriti yang diniagakan dalam Cabang 1 mungkin telah dijual oleh Pengguna Dibenarkan, dan Pembekal Dibenarkan akan mendapat set sekuriti berasingan yang sama/setara apabila Cabang 2 dilaksanakan.
- 2.5 Bilakah Cabang 2 dijangka akan dilaksanakan? (Kriteria no. 5)
Cabang 2 akan dilaksanakan apabila Pembekal Dibenarkan membuat pilihan untuk membeli sekuriti yang setara dengan Cabang 1 mengikut Wa’d yang telah diberikan oleh Pengguna Dibenarkan kepada Pembekal Dibenarkan, atau apabila berlaku peristiwa pencetus yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak terbabit sebagai syarat untuk pelaksanaan transaksi Cabang 2, contohnya pengumuman sesuatu tindakan korporat melibatkan sekuriti terbabit. Tindakan korporat ini mungkin melibatkan terbitan hak, terbitan bonus atau penggabungan dan pemerolehan.
- 2.5 (a) Bolehkah pihak-pihak terbabit bersetuju untuk mengubah bilangan Sekuriti Layak ISSBNT bagi menggantikan Cabang 2?
Sebagai ganti kepada pelaksanaan Cabang 2, pihak-pihak terbabit juga boleh bersetuju untuk mengubah bilangan Sekuriti Layak ISSBNT, tetapi ini biasanya dibataskan dalam situasi tindakan korporat, contohnya terbitan bonus dan subpembahagian saham.
- 2.6 Bolehkah ISSBNT dilupuskan tanpa pelaksanaan Cabang 2? (Kriteria no. 6)
Pihak-pihak terbabit juga boleh bersetuju terlebih dahulu supaya ISSBNT dilupuskan tanpa melaksanakan Cabang 2 dalam situasi tertentu seperti berikut:
- Jika berlaku apa-apa peristiwa mungkir yang dinyatakan dalam perjanjian penetapan terma dan syarat transaksi antara Peserta-peserta ISSBNT; dan
- Apabila Cabang 2 tidak boleh dilaksanakan disebabkan sesuatu peristiwa yang di luar kawalan Peserta ISSBNT, dan ini mungkin merangkumi situasi di mana Sekuriti ISSBNT bertukar status kepada tidak patuh Syariah.
- 2.6 (a) Apakah yang berlaku apabila sekuriti bertukar status kepada tidak patuh Syariah selepas pelaksanaan Cabang 1?
Tertakluk kepada persetujuan antara Peserta-peserta, pilihan berikut disediakan sekiranya sekuriti bertukar status daripada patuh Syariah kepada tidak patuh Syariah:
Senario 1
Jika status Sekuriti Layak ISSBNT bertukar kepada tidak patuh Syariah selepas sekuriti tersebut dijual sepenuhnya kepada pihak ketiga sebelum Cabang 2 dilaksanakan, Pengguna Dibenarkan boleh memilih kaedah-kaedah berikut:- Penyelesaian tunai melalui transaksi Komoditi Murabahah; atau
- Penggantian dengan sekuriti patuh Syariah yang lain
Senario 2
Jika sekuriti bertukar status daripada patuh Syariah kepada tidak patuh Syariah apabila Pengguna Dibenarkan belum menjual atau telah menjual sebahagian daripada sekuriti terbabit kepada pihak ketiga, Pengguna Dibenarkan boleh memilih kaedah-kaedah berikut:- lebihan unit dalam pemilikannya boleh dijual kepada Pembekal Dibenarkan dalam Cabang 2, dan perbezaan nilai ini boleh diuruskan melalui kaedah-kaedah berikut;
- Penyelesaian tunai melalui transaksi Komoditi Murabahah; atau
- Penggantian dengan sekuriti patuh Syariah yang lain.
- 2.6 (b) Apakah maksud penyelesaian tunai melalui transaksi Komoditi Murabahah?
Penyelesaian tunai melalui transaksi Komoditi Murabahah bertujuan untuk membayar Harga Jualan transaksi Cabang 1 yang bertangguh, dan juga untuk mengekalkan nilai pelaburan Pembekal Dibenarkan disebabkan ketidakupayaan Pengguna Dibenarkan untuk melaksanakan Cabang 2. Proses pembayaran ini adalah bagi memastikan agar Pembekal Dibenarkan dan juga Pengguna Dibenarkan tidak akan terjejas akibat ketiadaan Cabang 2.
Penyelesaian tunai ini akan mengambil kira pergerakan harga pasaran sekuriti (∆ MP), jumlah yuran (MI) dan jumlah dividen (D) yang perlu dibayar. Proses ini tidak melibatkan pertukaran sekuriti, oleh itu ia adalah wajar agar Pembekal Dibenarkan dan Pengguna Dibenarkan menjalankan transaksi Komoditi Murabahah untuk mencerminkan penyelesaian tunai di atas. Penyelesaian melalui Komoditi Murabahah tidak ada kaitan secara langsung dengan Cabang 1 kerana ia adalah transaksi berasingan melibatkan jualan dan pembelian sesuatu komoditi pada harga yang dipersetujui. Tiada sekuriti yang terlibat dalam transaksi ini.
Contoh pengiraan dan mekanisme penyelesaian ditunjukkan dalam Lampiran 1;
- 2.6 (c) Berapa lamakah Pengguna Dibenarkan boleh memegang sekuriti tidak patuh Syariah?
Berdasarkan panduan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Senarai Sekuriti Patuh Syariah (Ruj: https://www.sc.com.my/), pemegang sekuriti tidak patuh Syariah perlu mematuhi syarat-syarat berikut;
Tempoh untuk melupuskan sekuriti-sekuriti tidak patuh Syariah.
Sebagai panduan kepada para pelabur, MPS ingin menasihatkan pelabur mengenai tempoh untuk melupuskan sekuriti-sekuriti yang telah diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah.
- “Sekuriti patuh Syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “Sekuriti tidak patuh Syariah”. Ini merujuk kepada sekuriti-sekuriti yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai patuh Syariah tetapi, oleh kerana beberapa faktor seperti perubahan dalam operasi perniagaan syarikat dan kedudukan kewangan, kemudiannya diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah. Sehubungan dengan ini, jika pada tarikh senarai kemaskini ini berkuatkuasa (24 November 2017), harga pasaran sekuriti tidak patuh Syariah tersebut melebihi atau bersamaan dengan kos pelaburan, pelabur yang memegang sekuriti sedemikian mesti melupuskannya. Sebarang dividen yang telah diterima sehingga tarikh pengumuman dan keuntungan modal hasil daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah pada tarikh pengumuman boleh disimpan oleh pelabur. Walau bagaimanapun, sebarang dividen yang diterima dan lebihan keuntungan modal hasil daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah selepas tarikh pengumuman hendaklah disalurkan kepada Baitulmal dan/atau badan-badan kebajikan. Sebaliknya, para pelabur dibenarkan untuk memegang pelaburan dalam sekuriti tidak patuh Syariah sekiranya harga pasaran sekuriti terbabit berada di bawah kos pelaburan. Sepanjang tempoh pegangan sekuriti-sekuriti tidak patuh Syariah, para Pelabur juga dibenarkan untuk menyimpan dividen yang diterima sehingga jumlah dividen yang diterima dan harga pasaran sekuriti-sekuriti tidak patuh Syariah tersebut bersamaan dengan kos pelaburan. Pada ketika ini, para pelabur dinasihatkan untuk melupuskan pegangan mereka. Di samping itu, sepanjang tempoh pegangan, para pelabur juga dibenarkan untuk melanggan:
- sebarang terbitan sekuriti-sekuriti baru oleh syarikat yang mana sekuriti tidak patuh Syariahnya dipegang oleh pelabur, sebagai contoh, terbitan hak, terbitan bonus, terbitan khas dan waran (tidak termasuk sekuriti-sekuriti yang tidak patuh Syariah seperti stok pinjaman); dan
- sekuriti-sekuriti patuh Syariah syarikat lain yang ditawarkan oleh syarikat yang mana sekuriti tidak patuh Syariahnya dipegang oleh para pelabur, dengan syarat mereka menyegerakan pelupusan sekuriti-sekuriti tidak patuh Syariah tersebut.
- Sekuriti tidak patuh Syariah
MPS menasihatkan para pelabur yang melabur berdasarkan prinsip-prinsip Syariah supaya melupuskan sekuriti-sekuriti tidak patuh Syariah yang dipegang dalam tempoh tidak melebihi satu bulan selepas mengetahui status sekuriti tersebut. Sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh sebelum atau selepas pelupusan sekuriti tersebut hendaklah disalurkan kepada Baitulmal dan/atau badan-badan kebajikan. Para pelabur hanya berhak untuk mengambil kos pelaburan sahaja.
Perhatian: Kos pelaburan mungkin termasuk kos pembrokeran atau kos transaksi lain yang berkaitan.
- 2.7 Oleh sebab ISSBNT melibatkan kontrak penjualan dan pembelian, siapakah yang akan menanggung risiko dan liabiliti sekuriti terbabit? (Kriteria no. 7)
Seperti SBLNT, hak milik sekuriti akan dipindahkan kepada Pengguna Dibenarkan. Hak ekonomi sekuriti pula masih dimiliki oleh pemilik benefisial menurut Perjanjian ISSBNT.
- 2.8 (Kriteria no. 8)
Cabang 2 ISSBNT tidak boleh dilaksanakan pada hari yang sama dengan Cabang 1. Selang masa ini disyaratkan di bawah ISSBNT untuk mengelakkan bai’ al-‘inah (penjualan yang diikuti dengan pembelian semula dalam satu tempoh yang sangat singkat).
- 2.9 Penjualan dan pembelian memerlukan penetapan harga. Bagaimanakah ISSBNT menentukan harga untuk Cabang 1 dan Cabang 2? (Kriteria no. 9)
Nilai jualan untuk Cabang 1 dan juga Cabang 2 biasanya akan mengambil kira harga pasaran sekuriti terbabit pada tarikh kontrak, yuran dan pembayaran dividen, seperti yang ditunjukkan dalam formula di bawah:
- Cabang 1: Harga Jualan = MPt x Q
di mana,
MPt : Harga Pasaran untuk saham pada tarikh kontrak Cabang 1
Q : Kuantiti saham - Cabang 2: Harga Laksana = (MPt x Q) – MI – D
di mana,
MI : Ansuran Bulanan (mencerminkan “yuran pinjaman” dalam SBL konvensional)
D : Dividen
- Cabang 1: Harga Jualan = MPt x Q
- 2.10 Adakah cagaran yang dijanjikan oleh Pengguna Dibenarkan terhad kepada jenis-jenis aset tertentu? (Kriteria no. 10)
Melainkan pihak-pihak terbabit bersetuju sebaliknya, keberhutangan daripada Cabang 1 hendaklah dijamin dengan cagaran sewajarnya seperti yang dinyatakan di bawah. Jaminan cagaran ini bertujuan bagi memastikan agar pembayaran transaksi Cabang 1 oleh Pengguna Dibenarkan kepada Pembekal Dibenarkan dapat dilakukan melalui mekanisme penyelesaian ofset dengan menggunakan:
- Instrumen tunai atau setara tunai;
- Sekuriti patuh Syariah;
- Sukuk (Malaysia);
- Sukuk (Asing);
- Bon berdaulat (Asing) – sekiranya (i) – (iv) tidak tersedia.
Contoh-contoh instrumen setara tunai: Deposit Tetap, Draf Bank dan sebagainya.
- 2.11 Bolehkah pihak-pihak berkontrak mengenakan sebarang caj pampasan ke atas mana-mana pihak yang mungkir dalam ISSBNT? (Kriteria no. 11)
Caj pampasan yang dikenakan untuk kerugian sebenar berdasarkan pada prinsip ta’widh (pampasan) ke atas pihak yang mungkir adalah dibenarkan. Pengiraan kerugian sebenar hendaklah ditentukan oleh pihak-pihak berkontrak.
Pihak mungkir bermakna mana-mana peserta yang tidak menghormati obligasinya terhadap satu pihak lagi yang terlibat dalam kontrak seperti yang telah dipersetujui.
Caj pampasan hendaklah dikenakan sekiranya nilai cagaran tidak mencukupi untuk menampung keberhutangan dan sebarang kerugian sebenar lain yang ditanggung oleh Pembekal Dibenarkan (sebagai contoh, kerugian sebenar disebabkan perubahan harga pasaran untuk sekuriti terbabit).
- 3. Siapakah yang akan memastikan pematuhan ISSBNT kepada prinsip-prinsip Syariah?
Peserta-peserta ISSBNT bertanggungjawab memastikan pematuhan ISSBNT kepada prinsip-prinsip Syariah.
- 4. Apakah perbezaan utama antara ISSBNT dan SBLNT?
Struktur ISSBNT adalah berdasarkan pada rangka kerja model Pinjaman dan Memberi Pinjam Sekuriti - Transaksi Yang Dirundingkan [Securities Borrowing and Lending - Negotiated Transaction (“SBLNT”)] yang telah ditetapkan. Perbezaan utama antara SBLNT dan ISSBNT adalah seperti berikut:
SBLNT ISSBNT - Menggunakan konsep ‘memberi pinjam-pinjaman’.
- Kebanyakannya ditadbir oleh Perjanjian Memberi Pinjam Sekuriti Induk Global [Global Master Securities Lending Agreement “GMSLA”)/Perjanjian Pembelian Semula Induk Global [Global Master Repurchase Agreement (“GMRA”)].
- Tiada keperluan untuk mematuhi prinsip-prinsip Syariah dari aspek faedah, risiko dan liabiliti, caj dan sebagainya.
- Senarai sekuriti yang layak mungkin terdiri daripada sekuriti tidak patuh Syariah.
- Pilihan cagaran tersedia.
- Menggunakan konsep urus niaga dagangan, iaitu konsep pembelian-penjualan yang terdiri daripada dua transaksi jualan mutlak.
- Ditadbir oleh perjanjian ISSBNT dan wa’dan (dua janji unilateral).
- Tertakluk kepada kesahihan kontrak dagangan dari perspektif Syariah.
- Satu subset senarai sekuriti layak SBLNT yang terdiri daripada sekuriti patuh Syariah sahaja, sepertimana yang diterbitkan oleh SAC SC.
- Hanya cagaran yang sewajarnya dari perspektif Syariah.
- 5. Apakah contoh-contoh peristiwa pencetus yang boleh membawa kepada pelaksanaan Cabang 2?
Cabang 2 akan dilaksanakan apabila berlaku peristiwa pencetus yang telah dipersetujui antara pihak-pihak berkontrak dan mengikut syarat yang telah ditetapkan dalam Wa’d 1 dan Wa’d 2 ISSBNT. Bergantung pada perjanjian bersama antara Pembekal Dibenarkan dan Pengguna Dibenarkan, situasi/peristiwa yang boleh mencetuskan pelaksanaan Wa’d 1 oleh Pengguna Dibenarkan ini termasuk:
- Apabila Pengguna Dibenarkan tidak mahu memegang Sekuriti ISSBNT, iaitu membuat penyelesaian penuh Harga Jualan dan menebus cagaran.
- Apabila terdapat sebarang aktiviti berkaitan tindakan korporat Syarikat Senarai Awam [Public Listed Company (“PLC”)] yang terbabit, contohnya penyahsenaraian, penggabungan dan sebagainya.
Bergantung pada perjanjian bersama antara Pembekal Dibenarkan dan Pengguna Dibenarkan, situasi/peristiwa yang boleh mencetuskan pelaksanaan Wa’d 2 oleh Pembekal Dibenarkan ini termasuk;
- Apabila Pembekal Dibenarkan perlu memperoleh semula sekuriti yang telah dijual bagi tujuan melaksanakan hak-hak pengundiannya.
- Apabila Pembekal Dibenarkan ingin melupuskan pegangan sekuritinya dengan sepenuhnya kepada pasaran (bukan melalui ISSBNT).
- Apabila jumlah pembayaran ansuran bulanan [monthly installment (“MI”)] dan dividen (“D”) melebihi 90% daripada nilai Harga Jualan Cabang 1.
- Apabila terdapat sebarang ‘terbitan bonus’ atau ‘terbitan hak’ oleh PLC yang berkenaan, dengan mengandaikan bahawa Pembekal Dibenarkan ingin menyertai tindakan korporat sedemikian.
- 6. Bagaimana saya boleh mendapatkan senarai Sekuriti Layak ISSBNT?
Senarai Sekuriti Layak ISSBNT disediakan di laman web Bursa Malaysia. Senarai ini dikemas kini dua kali setahun menurut Senarai Sekuriti Patuh Syariah yang diterbitkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
- 7. Bagaimana PO boleh menggunakan Sekuriti Kustodian (dirujuk dalam perenggan 3.1 Direktif No. 7-001) mengikut cara yang patuh Syariah?
Organisasi yang Mengambil Bahagian [Participating Organisation, (“PO”)] dan Pelanggan Kustodian (Custodial Client) hendaklah menandatangani satu perjanjian bertulis bagi membolehkan penggunaan Sekuriti Kustodian dalam ISSBNT yang akan menangani isu-isu patuh Syariah, dan yang menetapkan bahawa persetujuan Pelanggan Kustodian diperlukan untuk membolehkan PO menggunakan Sekuriti Layak ISSBNT dalam jagaannya.
- 8. Bolehkah Pembekal Dibenarkan menjual Sekuriti Layak ISSBNT kepada pihak ketiga, walaupun sekuriti ini sudah pun dijual kepada Pengguna Dibenarkan (dalam Cabang 1 ISSBNT)?
Pembekal Dibenarkan tidak mungkin dapat menjual sekuriti berkenaan kepada pihak ketiga kerana sekuriti ini dianggap sudah dipindahkan kepada dan menjadi hak milik Pengguna Dibenarkan hasil daripada pelaksanaan Cabang 1. Jika Pembekal Dibenarkan berhasrat untuk menjual sekuriti terbabit kepada pihak ketiga, Pembekal Dibenarkan perlu memperoleh semula sekuriti itu terlebih dahulu daripada Pengguna Dibenarkan sebelum menjualnya kepada pihak ketiga.