Soalan Lazim
Soalan Lazim Sekuriti Tidak Patuh Syariah
- Bagaimanakah caranya untuk saya mengurus sekuriti tidak patuh Syariah yang saya miliki?
Bagi pelabur yang melabur berpandukan prinsip Syariah, Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menasihatkan agar sebarang sekuriti tidak patuh Syariah yang dimiliki dilupuskan dalam tempoh sebulan selepas mengetahui status sekuriti tersebut.
- Adakah pulangan daripada pelupusan sekuriti tidak patuh Syariah boleh disimpan?
Sebarang pulangan yang diterima semasa atau selepas pegangan, baik dalam bentuk dividen mahupun keuntungan modal, hendaklah disalurkan kepada badan-badan kebajikan. Walau bagaimanapun, para pelabur mempunyai hak untuk mendapatkan semula kos asal pelaburan.
- Adakah sesuatu sekuriti patuh Syariah boleh diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah?
Status patuh Syariah sesuatu sekuriti boleh digugurkan disebabkan oleh perkara-perkara seperti perubahan operasi perniagaan syarikat. Penyatuan dan pengambilalihan syarikat juga boleh menyebabkan sesuatu sekuriti menjadi tidak patuh Syariah.
- Bagamainakah caranya untuk saya mengurus sekuriti yang telah diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah?
Para pelabur harus melupuskan segera sekuriti yang telah kehilangan status patuh Syariah. Sebarang pulangan daripada pelupusan segera sekuriti tersebut pada tarikh pengumuman status Syariah dibuat boleh disimpan oleh pelabur.
- Bolehkan pelupusan Sekuriti tidak patuh Syariah dilaksanakan selepas hari pengumuman?
Bagi pelupusan selepas hari pengumuman, sebarang lebihan keuntungan modal hasil daripada harga pasaran semasa yang lebih tinggi berbanding harga penutup pada hari pengumuman hendaklah disalurkan kepada badan-badan kebajikan.
Walau bagaimanapun, para pelabur dibenarkan memegang sekuriti tersebut sekiranya harga pasaran semasa adalah di bawah kos asal pelaburan. Para pelabur juga dibenarkan untuk menyimpan sebarang dividen yang diterima sepanjang tempoh pegangan. Sebaik sahaja jumlah dividen yang diterima dan harga pasaran semasa menyamai kos asal pelaburan, para pelabur dinasihatkan untuk melupuskan pegangan mereka.
Harga Pelupusan Tarikh Pelupusan Keuntungan Modal Lebih tinggi berbanding kos asal pelaburan Pada hari pengumuman Dibenarkan untuk disimpan Lebih tinggi berbanding harga penutup pada hari pengumuman Selepas hari pengumuman Tidak dibenarkan untuk disimpan - Bagaimanakah untuk menentukan kos asal pelaburan?
Kos asal pelaburan termasuk fi brokeraj atau sebarang kos transaksi yang berkaitan.
Panduan pengurusan sekuriti tidak patuh Syariah terdapat di dalam senarai sekuriti patuh Syariah yang diterbitkan oleh MPS SC setiap Mei dan November.