Ekuiti
Sistem Depositori Pusat (CDS)
CDS ialah singkatan bagi "Sistem Depositori Pusat", iaitu sistem milik penuh yang diusahakan oleh Bursa Malaysia Depository Sdn. Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai Malaysian Central Depository Sdn. Bhd.), anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia Berhad.
Pelabur yang berhasrat untuk berdagang dalam sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia mesti membuka akaun CDS dengan Agen Depositori Sah (ADAs), contohnya syarikat broker saham. Sekuriti yang dibeli akan dikreditkan ke dalam akaun CDS yang telah dibuka oleh pelabur. Begitu juga dengan sekuriti yang dijual. Kesemua sekuriti itu akan didebitkan daripada akaun CDS.
Pelabur boleh menggunakan CDS untuk memindahkan sekuriti daripada satu akaun CDS kepada akaun yang lain, dengan syarat pemindahan telah diluluskan oleh Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd. Transaksi lain yang boleh dilakukan oleh pendeposit melalui Sistem Depositori Pusat adalah dengan mendaftar maklumat akaun bank, mengemas kini maklumat akaun, mengaktifkan semula akaun CDS dorman, mengaktifkan semula akaun CDS yang tidak aktif, mendepositkan sijil saham, mengeluarkan saham syarikat dinyahsenaraikan, dan menutup akaun CDS.
Borang CDS bagi transaksi berikut kini boleh didapati untuk dimuat turun di laman web Bursa Malaysia. Borang mestilah disi dengan lengkap sebelum dihantar kepada Agen Depositori Sah (ADA) contohnya, syarikat broker saham:
Application for Reactivation of CDS Account
Application for Suspension/Release of Suspension of Securities
Transfer of Securities Request
Pendeposit mesti mengisi borang yang relevan dengan memasukkan maklumat yang diperlukan sebelum mencetak . Borang akan dicetak secara automatik sebanyak tiga (3) salinan, kecuali bagi borang Permohonan untuk Mengaktifkan Semula Akaun CDS yang akan dicetak sebanyak dua (2) salinan. Borang berkenaan, termasuk salinannya mesti ditandatangani.
Bagi akaun baharu, borang Permohonan bagi Pembukaan Akaun mesti dihantar kepada syarikat broker saham tempat pendeposit ingin membuka akaun CDS. Bagi transaksi lain, pendeposit perlu menghantar borang-borang berkenaan kepada syarikat broker saham tempat akaun CDS pendeposit.
Pendeposit dinasihatkan agar membaca arahan yang dicetak pada muka surat akhir borang dengan teliti sebelum mengisi borang. Bagi maklumat atau penjelasan lanjut, sila rujuk "Soalan Lazim mengenai CDS" yang boleh didapati di laman web Bursa Malaysia.