PATUH SYARIAH
Kaedah Penyaringan Syariah
Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan dan mengemas kini saham-saham yang dikelaskan sebagai Sekuriti patuh Syariah yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Senarai yang dikemas kini setiap bulan Mei dan November menyediakan rujukan pelaburan bagi dana amanah saham Islam, dana Takaful, syarikat/ perkhidmatan broker saham Islam dan pelabur yang mencari pelaburan yang patuh Syariah. Senarai ini akan memenuhi beberapa objektif seperti berikut:
- Memudahkan pelabur mencari pelaburan dalam saham patuh Syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia;
- Pemusatan keputusan Syariah secara domestik;
- Meningkatkan pendedahan dan ketelusan;
- Menggalakkan pembangunan Pasaran Modal Islam; dan
- Menggalakkan pembangunan instrumen Islam.
Apakah kaedah penyaringan yang digunakan?
MPS SC memaparkan saham tersenarai berdasarkan kaedah tertentu. Sebagai penyaringan awal, syarikat-syarikat dengan kegiatannya tidak bertentangan dengan prinsip Syariah akan diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah. Sebaliknya, syarikat-syarikat akan dianggap tidak patuh Syariah sekiranya mereka terlibat dalam aktiviti teras berikut:
- Perkhidmatan kewangan berdasarkan riba (faedah);
- Perjudian;
- Pembuatan atau penjualan produk bukan halal atau produk berkaitan;
- Insurans konvensional;
- Aktiviti hiburan yang tidak dibenarkan menurut Syariah;
- Pembuatan atau penjualan produk berasaskan tembakau atau produk berkaitan;
- Pembrokeran saham atau perdagangan saham pada sekuriti tidak patuh Syariah, dan
- Aktiviti lain yang dianggap tidak dibenarkan menurut Syariah.
Bagi syarikat yang mempunyai aktiviti merangkumi aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan, Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC mengukur tahap sumbangan gabungan daripada aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam perolehan dan keuntungan sebelum cukai syarikat. MPS SC menggunakan tanda aras berdasarkan Ijtihad (pemikiran berdasarkan Syariah). Jika sumbangan aktiviti tidak dibenarkan melebihi tanda aras, sekuriti itu akan diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah.
MPS SC seterusnya menilai pengurusan kewangan syarikat dengan menggunakan tanda aras nisbah kewangan. Penanda aras nisbah kewangan bertujuan untuk mengukur riba dan unsur-unsur berasaskan riba dalam kedudukan kewangan syarikat.
Di samping itu, MPS SC juga mengambil kira aspek kualitatif yang melibatkan persepsi awam atau imej aktiviti syarikat dari perspektif pengajaran Islam.
Sila klik di sini untuk maklumat lanjut.
Berapa banyak sekuriti yang patuh Syariah?
Setakat 26 Mei 2017, sejumlah 676 sekuriti dikelaskan sebagai patuh Syariah. Sekuriti tersebut mewakili 75% sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia. Sila klik di sini untuk senarai penuh sekuriti patuh Syariah, yang ditanda dengan “[S]”.