Dagangan Budi Bicara
Soalan Lazim untuk Pelabur
- Apakah Dagangan Budi Bicara (“DT”)?
DT ialah perkhidmatan yang disediakan oleh Peserta Dagangan (“PO”) untuk pelanggannya (pelabur) yang mana matlamat pelaburan ditetapkan bersama pelabur berdasarkan polisi pelaburan tertentu seperti objektif pelaburan dan toleransi risiko. Perkhidmatan ini termasuk pelaksanaan pesanan beli dan jual dan pentadbiran akaun pelabur.
- Apakah DT Syariah?
DT Syariah merujuk kepada pendekatan pelaburan apabila keputusan pelaburan dibuat oleh pengurus portfolio mengikut prinsip Syariah, tetapi dalam skop rangka kerja dan garis panduan DT. Ia melibatkan pengurusan aktif portfolio sekuriti patuh Syariah berdasarkan kepakaran dan budi bicara pengurus portfolio.
- Apakah tujuan DT dan DT Syariah?
DT dan DT Syariah bertujuan mengembangkan portfolio pelaburan dan kekayaan pelabur melalui portfolio ekuiti budi bicara yang disesuaikan dan berstruktur.
DT Syariah menyediakan akses kepada pelabur untuk melabur dalam instrumen pelaburan patuh Syariah melalui portfolio ekuiti budi bicara yang disesuaikan, berstruktur dan patuh Syariah. - Apakah syarat untuk menyertai DT dan DT Syariah?
(i) Pelabur dikehendaki membuka Akaun Budi Bicara (“DA”) berasingan daripada akaun dagangan biasa. Bagi DT Syariah, pelabur dikehendaki mempunyai DA Syariah yang berasingan;
(ii) Pelabur mesti membuat pemindahan tunai; dan
(iii) Pelabur tidak boleh memindahkan sekuriti sedia ada dalam pegangan mereka atau jenis cagaran lain sebagai modal. - Siapa yang boleh menyertai DT dan DT Syariah?
Semua jenis pelabur dibenarkan menyertai DT dan DT Syariah.
- Bolehkah bukan Islam menyertai DT Syariah?
Ya, DT Syariah tidak terhad kepada orang Islam. Pelabur bukan Islam yang berminat dalam pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial atau sedang menyelaraskan pelaburan mereka dengan prinsip etika juga boleh menyertai DT Syariah.
- Bagaimana cara menyertai DT dan DT Syariah?
Pelabur boleh menghubungi PO masing-masing yang menawarkan DT dan DT Syariah untuk menjadualkan janji temu bagi membuat pengaturan yang berkaitan bagi menyertai DT dan DT Syariah.
Sila rujuk senarai PO yang menawarkan DT dan DT Syariah di laman web kami. (Rujuk: Senarai Broker yang Menyertai) - Adakah terdapat keperluan modal minimum bagi menyertai DT dan DT Syariah?
Setiap struktur DT dan DT Syariah yang ditawarkan oleh PO masing-masing mungkin berbeza; oleh itu, set modal minimum mungkin berbeza dari satu PO ke PO yang lain.
Pelabur dinasihatkan untuk menyemak struktur DT dan DT Syariah dengan PO masing-masing untuk memahami lebih lanjut ciri produk. - Apakah yuran yang dikenakan untuk DT dan DT Syariah?
Pelabur dinasihatkan untuk menyemak dengan PO masing-masing yang menawarkan perkhidmatan DT dan DT Syariah kerana bayaran yang dikenakan mungkin berbeza dari satu PO ke PO yang lain.
- Adakah terdapat sebarang risiko berkaitan DT dan DT Syariah?
Seperti apa jua bentuk pelaburan lain, risiko DT dan DT Syariah mungkin berbeza berdasarkan strategi pelaburan dan keadaan pasaran tertentu. Contoh keadaan pasaran adalah termasuk pergerakan kadar faedah, kadar pertukaran, harga komoditi serta keadaan geo-politik semasa.
- Apakah kelebihan menyertai DT dan DT Syariah?
Kelebihannya termasuk akses kepada pengurusan pelaburan profesional dan kepelbagaian yang merentas kelas aset yang berbeza.
Untuk DT Syariah, pelabur boleh melabur mengikut prinsip Syariah dan amalan pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial.