Kenyataan Media
BURSA MALAYSIA DERIVATIVES MELANCARKAN KONTRAK NIAGA HADAPAN MINYAK SAWIT MENTAH MALAYSIA TIMUR (FEPO)
FEPO BERTUJUAN UNTUK MERANCAKKAN PASARAN MINYAK KELAPA SAWIT SABAH DAN SARAWAK
Bursa Malaysia Derivatives Berhad (“Bursa Malaysia Derivatives”) akan melancarkan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (“FEPO”) bagi memenuhi keperluan peserta-peserta pasaran minyak kelapa sawit Sabah dan Sarawak untuk ketelusan harga yang lebih nyata dan sebagai alat pengurusan risiko alternatif.
Bersempena dengan pelancaran FEPO pada hari Isnin, 4 Oktober 2021, Bursa Malaysia Derivatives akan menganjurkan upacara pelancaran maya. Pelancaran FEPO ini akan dirasmikan secara atas talian oleh Datuk Dr. Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah; dan Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak. Kontrak FEPO yang telah menerima status patuh syariah, akan mula diniagakan oleh pedagang bermula 4 Oktober 2021.
“Oleh sebab pengeluaran Minyak Sawit Mentah bagi pasaran Sabah dan Sarawak merangkumi hampir separuh dari pengeluaran Minyak Sawit Mentah negara, kami telah mengenal pasti keperluan untuk menyediakan mekanisme lindung nilai khas untuk peserta pasaran minyak sawit Malaysia Timur,” kata Datuk Muhamad Umar Swift, Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad. “Kemudahan pelabuhan yang diluluskan di Sabah dan Sarawak khasnya di Bintulu, Lahad Datu, dan Sandakan akan mengurangkan kos-kos logistik serahan fizikal dan memanfaatkan pemain pasaran huluan dan hiliran di Malaysia Timur.”
Pada tahun 2020, pemasangan tangki pelabuhan Bursa di Semenanjung Malaysia telah mengendalikan 670,125 tan metrik Minyak Sawit Mentah melalui serahan fizikal Kontrak Hadapan Minyak Sawit Mentah (“FCPO”) yang telah menjana nilai ekonomi untuk pelbagai perniagaan. Dalam pada itu, penyertaan lebih banyak pemasangan tangki pelabuhan untuk FEPO dijangka akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan nilai ekonomi yang lebih tinggi untuk perniagaan berkaitan minyak sawit di Malaysia Timur.
Kontrak FEPO dijangka akan menarik minat pelabur antarabangsa khususnya peniaga- peniaga komoditi Pasaran Sawit Olein China di Pasaran Komoditi Dalian, untuk membolehkan mereka melabur di kedua–dua pasaran serentak.
“Kontrak FEPO kami menawarkan peluang-peluang arbitraj yang bernilai tinggi dengan kontrak FCPO yang aktif didagangkan oleh kerana perbezaan harga di antara minyak sawit mentah Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur” ujar Samuel Ho, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives. “Tambahan pula, dengan adanya waktu dagangan yang diserasikan dengan RBD Palm Olien di Pasaran Komoditi Dalian pada 9:00 pagi, kontrak FEPO akan menarik minat meja komoditi termasuk peniaga–peniaga minyak laurik dan penimbang- penimbang tara yang mecari peluang arbitraj di kedua–dua pasaran.”
Pengenalan kontrak baharu FEPO ini akan mengukuhkan penawaran kompleks produk sawit Bursa Malaysia Derivatives dan menguatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat global bagi penemuan harga minyak sawit. Bursa Malaysia Derivatives komited untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk membina pasaran-pasaran yang menarik untuk semua pelanggan di seluruh dunia.
Untuk keterangan lanjut, sila layari: https://www.bursamalaysia.com/bm/trade/our_products_services/derivatives/commodity_derivatives/east-malaysian-crude-palm-oil-futures-fepo