Kenyataan Media
SC DAN BURSA MALAYSIA TAMATKAN PENGGANTUNGAN SEMENTARA JUALAN SINGKAT DIKAWAL SELIA PADA 1 JANUARI 2021
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) akan menamatkan penggantungan Jualan Singkat yang Dikawal Selia (Regulated Short Selling atau RSS) dan telah menyemak langkah-langkah pengurusan pasaran lain yang diperkenalkan pada tahun ini berikutan meningkatnya kemudahubahan yang timbul daripada kesan COVID-19.
Keputusan
ini diambil selepas pertimbangan yang sewajarnya terhadap keadaan pasaran
semasa dan keperluan pasaran yang semakin berkembang.
Penggantungan RSS, yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020, akan dipertingkatkan pada 1 Januari 2021 untuk memudahkan pengurusan risiko pelabur dan menggalakkan aktiviti Pinjam Meminjam Sekuriti (Securities Borrowing and Lending atau SBL) yang merupakan elemen penting fungsi pasaran modal untuk memudahcarakan produk dan aktiviti penggalakan pasaran.
RSS akan diperkenalkan semula dengan langkah-langkah kawalan berikut yang dipertingkatkan demi memastikan kestabilan dan menjaga keyakinan pelabur:
- Had kedudukan singkat kasar harian bagi Sekuriti yang Diluluskan[1] akan dikurangkan buat sementara waktu daripada 3% kepada 2%; dan
- Had baharu sebanyak 4% pada kedudukan singkat bersih beragregat RSS akan diperkenalkan.
Sementara itu, penggantungan sementara ke atas Jualan Singkat Intra Hari (Intraday Short Selling atau IDSS) dan jualan singkat intra hari oleh Pedagang Harian Proprietari (Proprietary Day Traders atau PDT Short Sale) yang akan berakhir pada 31 Disember 2020 akan dilanjutkan sehingga 28 Februari 2021. Berikutan lanjutan Jualan Singkat PDT, pengecualian sementara berkaitan dengan PDT akan dilanjutkan sehingga 28 Februari 2021.
Semakan sementara terhadap langkah-langkah pengurusan pasaran sedia ada yang lain, iaitu had harga dinamik dan statik serta pemutus litar pasaran (circuit breaker), akan dilanjutkan sehingga 30 Mei 2021 dan kembali kepada parameter asalnya pada 31 Mei 2021. Langkah-langkah ini dilaksanakan pada 20 Julai 2020 dan dijadualkan tamat pada 18 Januari 2021.
Di samping itu, langkah-langkah bantuan dan kelonggaran sementara yang berkaitan dengan pembiayaan margin, yang akan berakhir pada 31 Disember 2020, akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.
SC dan Bursa
Malaysia akan terus memantau perkembangan di peringkat global dan domestik, serta
mengambil pendekatan proaktif dalam melaksanakan langkah-langkah yang wajar demi
mendukung pasaran yang adil dan teratur.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
BURSA MALAYSIA BERHAD
[1] Sekuriti yang Diluluskan ialah mana-mana sekuriti yang didagangkan di pasaran saham Bursa yang diiktiraf oleh Bursa menurut Peraturan 8.22(5).