Kenyataan Media
BURSA MALAYSIA DAN CGS-CIMB SECURITIES MENGANJURKAN HACKATHON MAYA ‘INVESTHACK’ UNTUK MENGGALAKKAN PENYERTAAN PELABUR RUNCIT DALAM PASARAN SAHAM
Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) dengan kolaborasi bersama CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (“CGS-CIMB”) akan menganjurkan acara hackathon InvestHack dari 20 - 22 November 2020. Bertemakan “InvestHack: Reimagine Investing”, pertandingan ini bertujuan untuk membina solusi-solusi inovatif yang dapat meningkatkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) turut berganding bahu sebagai rakan komuniti dalam penganjuran pertandingan ini.
Penyertaan pelabur runcit di Bursa Malaysia telah menyaksikan perkembangan yang ketara pada tahun ini disebabkan pelbagai faktor yang berkaitan dengan pandemik COVID-19. Setakat akhir bulan September 2020, penyertaan pelabur runcit mencatatkan tahap tertinggi dalam 10 tahun, iaitu sebanyak 33.2%, manakala Nilai Harian Purata (NHP) meningkat sebanyak 231.4% kepada RM1.327 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.
Usaha untuk mengekalkan penyertaan yang aktif oleh pelabur runcit amat penting ke arah pasaran sekuriti yang rancak dan Bursa Malaysia merancang untuk memberi fokus pada penggunaan teknologi demi membangunkan pasaran yang lebih berdaya saing. Oleh itu, Bursa Malaysia dan CGS-CIMB menjemput semua pihak yang berminat untuk menyertai pertandingan hackathon ini. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari https://www.bursamarketplace.com/investhack-2020/.
Untuk pengetahuan anda, pertandingan hackathon InvestHack tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan dan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM35,000 kepada para pemenang. Pasukan yang menyertai InvestHack dikehendaki untuk menangani salah satu daripada empat cabaran untuk memperbaiki ekosistem pelaburan runcit, seperti berikut:
Cabaran 1: Menarik minat lebih ramai pelabur runcit di Malaysia terhadap pelaburan dalam pasaran saham.
Cabaran 2: Meningkatkan pelabur runcit yang celik kewangan di Malaysia.
Cabaran 3: Membantu pelabur runcit Malaysia untuk mengatasi tingkah laku kawanan ketika melabur dalam pasaran saham.
Cabaran 4: Menangani pertanyaan umum: "Adakah anda mempunyai petua saham?"
Mengulas tentang inisiatif baharu ini, Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia berkata, “Kami teruja untuk menganjurkan pertandingan ini bersama rakan kongsi kami, CGS-CIMB Securities untuk mewujudkan peluang-peluang baharu untuk melayani keperluan komuniti pelaburan dengan lebih baik. Teknologi adalah pemboleh pertumbuhan yang kritikal dan Bursa Malaysia sentiasa mencari idea baharu dan solusi teknologi yang terkini. Kami berharap platform ini dapat memberi dorongan dan inspirasi untuk menjana idea-idea kreatif yang akan memberikan nilai baru pada pasaran saham."
Ruzi Ajith, Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB menambah lagi, “Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pertandingan ini bersama dengan Bursa Malaysia, kerana platform ini mendorong kami untuk melihat pelaburan dari perspektif yang berbeza. Kami menantikan idea-idea baharu inovatif yang dapat memperbaiki lagi pasaran saham runcit kita. "
Acara hackathon secara maya selama 3 hari ini akan berlangsung melalui platform interaktif, untuk pasukan-pasukan yang terdiri daripada tiga hingga lima orang peserta. Pasukan-pasukan yang berdaftar akan dijemput untuk taklimat secara maya pada 16 November 2020 untuk membincangkan pernyataan masalah dengan lebih lanjut. Semasa acara utama, para peserta akan dibimbing oleh mentor-mentor yang berpengalaman, diikuti dengan dua pusingan pembentangan untuk memilih tiga pemenang teratas.