Soalan Lazim
Pemindahan Sekuriti
- Bolehkah saya memohon untuk memindahkan sekuriti kepada mana-mana pihak?
Berkuat kuasa 1 September 1998, sebarang permohonan pemindahan hendaklah mematuhi alasan pemindahan yang diluluskan seperti yang ditetapkan oleh Bursa Depository dalam Manual Prosedur CDS bagi ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan. Anda boleh menghubungi ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan anda untuk maklumat lanjut.
- Bolehkah saya memindahan sekuriti yang digantung daripada dagangan?
Ya. Anda boleh memindahkan sekuriti yang digantung daripada dagangan dengan syarat ia mematuhi alasan yang diluluskan.
- Apakah perubahan yang berlaku berkenaan proses pemindahan yang dilaksanakan oleh Bursa Depository pada 30 Disember 2002?
Perubahan tersebut adalah seperti yang berikut:
- Pengenalan borang Permohonan Pemindahan Sekuriti baharu yang menggabungkan ciri yang lebih mesra pengguna dan klausa pengisytiharan.
- Waktu akhir bagi pendeposit untuk mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan mereka dengan ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan atau Ahli Depositori Bertauliah (ADM) telah dilanjutkan dari 12.00 tengah hari ke 3.00 petang.
Sepuluh (10) alasan yang diluluskan sebelum ini telah diklasifikasikan semula kepada dua (2) kategori seperti yang dinyatakan di bawah:
A. Tiada Pertukaran Pemilikan Benefisial (“NCBO”)
Kategori alasan yang diluluskan untuk pemindahan ini memenuhi keperluan pemindahan yang menyebabkan tiada pertukaran dalam pemilikan benefisial sekuriti. Di bawah kategori alasan yang diluluskan untuk pemindahan ini, nama pemilik benefisial adalah telus dan sama di kedua-dua akaun sekuriti pemindah dan penerima pindahan, oleh itu tiada dokumen sokongan diperlukan.
B. Pertukaran Pemilikan Benefisial (“CBO”)
Kategori alasan yang diluluskan untuk pemindahan ini meliputi senario seperti pemindahan menurut Tawaran Am, pemindahan antara ahli keluarga, pemindahan yang timbul daripada sekuriti yang dicagarkan, pemindahan yang melibatkan Pihak Berkuasa Kerajaan dan pemindahan yang memerlukan kebenaran terlebih dahulu daripada Bursa Depository. Alasan lain yang diluluskan dalam kategori ini kecuali pemindahan yang melibatkan Pihak Berkausa Kerajaan memerlukan dokumen sokongan.
- Berkenaan dengan pemindahan antara akaun CDS ahli keluarga, apakah senario atau hubungan yang dibenarkan oleh Bursa Depository?
Bursa Depository hanya membenarkan pemindahan antara pemindah (orang yang memulakan pemindahan) dan penerima pindahan (orang yang menerima sekuriti yang dipindahkan), yang merupakan ahli keluarga terdekat. Perhubungan yang dibenarkan adalah seperti yang berikut:
- Ibu bapa;
- Anak/anak angkat;
- Pasangan;
- Adik-beradik lelaki;
- Adik-beradik perempuan;
- Datuk dan nenek; atau
- Cucu
Pendeposit individu juga boleh memindahkan sekuriti daripada akaun CDS mereka yang dipegang secara langsung atas nama pendeposit individu atau akaun penama yang dipegang oleh penama yang diberi kuasa* (di mana pendeposit individu dinyatakan sebagai pemilik benefisial) ke akaun CDS yang dipegang secara langsung atas nama ahli keluarga mereka. Mereka dikehendaki melampirkan dokumen sokongan yang berkaitan apabila memulakan pemindahan tersebut, seperti yang dinasihatkan oleh ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan.
Walau bagaimanapun, pemindahan sekuriti terus daripada Akaun Sekuriti Dicagarkan pendeposit ke akaun CDS ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.
*Penama yang diberi kuasa bermaksud seseorang yang diberi kuasa untuk bertindak sebagai penama seperti yang termaktub dalam jadual yang ditetapkan di bawah bahagian VIII Peraturan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd.
- Bilakah pemindahan sekuriti akan dipaparkan dalam akaun CDS?
Setelah pemindah mengemukakan borang Permohonan Pemindahan Sekuriti yang lengkap kepada ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan, ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan berkenaan akan mengesahkan semua dokumentasi untuk memastikan bahawa ia teratur sebelum memaparkan maklumat yang berkaitan ke dalam CDS. Setelah permohonan pemindahan berjaya, akaun CDS pemindah akan didebitkan manakala akaun CDS penerima pindahan akan dikreditkan serta-merta.
- Bolehkah saya melakukan pemindahan sekuriti kepada ahli keluarga saya melalui aplikasi mudah alih Bursa Anywhere?
Aplikasi mudah alih Bursa Anywhere hanya membenarkan transaksi pemindahan jenis NCBO yang melibatkan akaun CDS pendeposit yang sama. Pemindahan sekuriti ke dalam akaun CDS ahli keluarga tidak dibenarkan melalui aplikasi mudah alih Bursa Anywhere.