Soalan Lazim
Pengaktifan Akaun Tidak Aktif
- Apakah akaun tidak aktif?
Akaun CDS dikatakan tidak aktif apabila terdapat baki sekuriti dalam akaun CDS tetapi tiada entri debit atau kredit dalam akaun penyimpan selama sekurang-kurangnya tiga puluh enam (36) bulan berturut-turut dari tarikh entri terakhir dibuat (selepas ini dirujuk sebagai “Tidak Aktif”).
- Mengapakah Bursa Depository mengkelaskan akaun CDS sebagai Tidak Aktif?
Bursa Depository sentiasa berusaha meningkatkan keselamatan akaun CDS anda. Mengkelaskan akaun CDS yang berkenaan sebagai Tidak Aktif akan menyekat transaksi yang tidak dibenarkan.
- Apakah kesan kepada akaun CDS yang dikelaskan sebagai Tidak Aktif?
Sebaik sahaja akaun CDS anda telah dikelaskan sebagai Tidak Aktif, anda masih boleh terus melakukan semua bentuk transaksi CDS yang tersedia kepada penyimpan kecuali pemindahan keluar dan aktiviti perdagangan.
- Apakah yang akan berlaku kepada sekuriti yang ada dalam akaun CDS saya selepas ia dikelaskan sebagai Tidak Aktif?
Sekuriti anda akan kekal dalam akaun CDS anda selepas akaun anda dikelaskan sebagai Tidak Aktif.
- Adakah saya masih boleh menggunakan akaun CDS yang Tidak Aktif untuk memohon IPO atau tindakan korporat?
Ya. Anda boleh menggunakan akaun CDS yang Tidak Aktif anda untuk memohon IPO. Begitu juga untuk tindakan korporat. Walau bagaimanapun, status akaun CDS anda kekal sebagai Tidak Aktif.
- Adakah saya akan menerima sebarang penyata akaun selepas akaun CDS saya dikelaskan Tidak Aktif?
Ya. Bursa Depository akan menghantar Penyata Akaun CDS tahunan pada bulan Disember selepas akaun CDS anda dikelaskan sebagai Tidak Aktif.
- Adakah saya akan menerima kelayakan seperti dividen atau terbitan bonus selepas akaun CDS saya dikelaskan sebagai Tidak Aktif?
Ya. Jika anda memenuhi syarat untuk menerima kelayakan, anda akan menerima kelayakan sedemikian dan sekuriti yang layak akan dikreditkan ke dalam akaun CDS Tidak Aktif anda.
- Adakah saya akan dimaklumkan sebelum akaun CDS saya dikelaskan sebagai Tidak Aktif?
Ya. Bursa Depository akan memberi notis kepada anda sebulan sebelum pengkelasan akaun CDS kepada status Tidak Aktif.
- Apabila saya menerima notis itu, apakah langkah yang boleh saya ambil untuk mengelakkan akaun CDS saya daripada dikelaskan Tidak Aktif?
Jika anda ingin akaun CDS anda kekal aktif, anda boleh melakukan sebarang transaksi CDS yang melibatkan entri debit atau kredit dalam akaun anda sebelum tarikh penyahaktifan yang dinyatakan dalam notis yang dihantar kepada anda.
- Adakah saya akan dimaklumkan semula setelah akaun CDS saya dikelaskan sebagai Tidak Aktif?
Tidak. Bursa Depository hanya akan menghantar satu notis tunggal kepada anda satu (1) bulan sebelum tarikh penyahaktifan. Penyata Akaun CDS tahunan yang dihantar oleh Bursa Depository akan menunjukkan status akaun CDS anda sebagai ‘Tidak Aktif’.
- Jika akaun CDS saya dikelaskan Tidak Aktif, bolehkah saya mengemas kini butiran saya?
Ya. Anda boleh mengemas kini butiran dalam akaun CDS anda melalui Bursa Anywhere atau dengan melengkapkan borang Permohonan untuk Pengaktifan Semula Akaun CDS (rujuk di sini https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/central_depository_system/cds_forms) dan menyerahkannya kepada ADA anda/syarikat broker saham/bank pelaburan di tempat akaun Tidak Aktif anda disenggara.
- Bagaimanakah cara mengaktifkan semula akaun CDS saya yang Tidak Aktif?
Penyimpan individu yang mempunyai akaun CDS Tidak Aktif boleh menggunakan Bursa Anywhere untuk mengaktifkan semula akaun CDS tersebut. Tiada yuran pengaktifan semula akan dikenakan.
Sebagai alternatif, anda boleh melengkapkan Borang Permohonan untuk Pengaktifan Semula Akaun CDS yang tersedia dalam laman web korporat kami atau ajukan permintaan bertulis kepada ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan di tempat akaun CDS anda disenggara.
Bagi pendeposit badan korporat, mereka mesti menyediakan sama ada permintaan bertulis atau mengemukakan Borang Permohonan untuk Pengaktifan Semula Akaun CDS yang telah dilengkapkan dengan sewajarnya yang ditandatangani oleh penandatangan dibenarkan seperti yang ditetapkan dalam resolusi lembaga pengarah kepada ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan di tempat akaun CDS mereka disenggara.
- Perlukah saya hadir ke ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan untuk mengaktifkan semula akaun CDS Tidak Aktif saya?
Tidak. Kehadiran anda adalah tidak wajib.
- Berapa lamakah masa yang diambil untuk mengaktifkan semula akaun CDS saya yang Tidak Aktif?
Pengaktifan semula akaun CDS Tidak Aktif melalui aplikasi mudah alih Bursa Anywhere akan berkuat kuasa serta-merta dalam CDS.
Jika anda memilih untuk melakukan pengaktifan semula melalui ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan anda, permintaan tersebut mesti diaktifkan oleh ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan anda dalam masa dua (2) hari pasaran dari tarikh permohonan anda.
- Adakah terdapat bayaran untuk pengaktifan semula?
Tiada bayaran dikenakan untuk pengaktifan semula.
- Adakah saya akan dimaklumkan selepas akaun CDS saya yang tidak Tidak Aktif diaktifkan semula?
Ya. Bursa Depository akan memaklumkan kepada anda melalui notis apabila akaun CDS anda telah berjaya diaktifkan semula.