Soalan Lazim
Penyata Akaun
- Bilakah saya menerima penyata akaun CDS?
Anda akan menerima penyata akaun CDS bulanan daripada Bursa Depository bagi bulan sebelumnya yang mempunyai entri debit atau kredit dalam akaun CDS. Walau bagaimanapun, jika tiada entri tetapi wujud sekuriti dalam akaun CDS anda, Bursa Depository hanya akan mengeluarkan penyata pada setiap bulan Jun dan Disember.
Bagi penyimpan yang mempunyai akaun CDS berstatus Tidak Aktif, Bursa Depository hanya akan mengeluarkan penyata akaun CDS pada bulan Disember.
Bagi penyimpan yang mempunyai akaun CDS berstatus Dorman atau baki sekuritinya kosong, tiada penyata akaun CDS akan dikeluarkan oleh Bursa Depository.
- Apakah kitaran penyata?
Kitaran penyata adalah tempoh yang telah ditetapkan oleh sistem untuk mengeluarkan penyata akaun CDS. Ini bermakna, apa-apa transaksi yang dilakukan selepas tarikh kitaran penyata akan dikemas kini dalam kitaran penyata CDS seterusnya.
Kitaran penyata akaun CDS ditetapkan sama ada pada 7, 14, 21 atau 28 hari bulan setiap bulan. Untuk akaun prinsipal dan penama ADA/syarikat broker saham, kitaran penyata ditetapkan pada 28 haribulan setiap bulan.
- Mengapakah sekuriti yang saya beli baru-baru ini tidak ditunjukkan dalam penyata akaun terkini? Jika tarikh penyelesaian transaksi adalah selepas tarikh kitaran penyata anda, transaksi itu akan ditunjukkan dalam penyata akaun yang seterusnya.
- Bagaimanakah cara memohon salinan penyata akaun CDS untuk tarikh sebelumnya?
Jika anda seorang penyimpan individu dan telah mendaftar untuk Bursa Anywhere, anda boleh mengakses penyata akaun CDS untuk dua belas (12) bulan sebelumnya ATAU penyata akaun CDS sejak pendaftaran bagi penyata CDS elektronik, yang mana yang terkini, melalui aplikasi mudah alih.
Sebagai alternatif, anda boleh meminta salinan penyata akaun CDS daripada ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan jika tarikh penyata itu kurang dari satu (1) tahun dari tarikh permintaan. ADA/syarikat broker saham/bank pelaburan mungkin mengenakan caj untuk perkhidmatan ini.
Jika tarikh penyata akaun CDS lebih dari satu (1) tahun dari tarikh permintaan, anda perlu memintanya secara rasmi daripada Bursa Depository dengan menulis surat. Caj dikenakan untuk permintaan sedemikian.
- Apakah kemungkinan yang menyebabkan penyata akaun CDS tidak diterima?
Ia mungkin disebabkan oleh perkara-perkara berikut:
- Alamat surat-menyurat atau alamat e-mel penyimpan tidak dikemas kini dengan ADA/syarikat broker saham/bank pelaburannya;
- Apabila akaun CDS belum diformalkan (dibuka secara rasmi) oleh penyimpan individu; atau
- Apabila tiada transaksi debit atau kredit dalam akaun CDS, pada bulan tersebut.