PENGUATKUASAAN
Penguatkuasaan Syarat-syarat Penyenaraian
Penguatkuasaan terhadap Pengarah di bawah Syarat-syarat Penyenaraian
Bursa Malaysia diberi kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penerbit tersenarai dan pengarah bagi pelanggaran Syarat-syarat Penyenaraian. Jika berlaku pelanggaran Syarat-syarat Penyenaraian oleh penerbit tersenarai dan pelanggaran itu bersifat material (antaranya, dari aspek perlakuan dan impak), tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pengarah yang telah menyebabkan, membantu, bersubahat atau membenarkan penerbit tersenarai melanggar Syarat-syarat Penyenaraian. Selain itu, tindakan penguatkuasaan juga boleh diambil terhadap pengarah kerana melanggar tanggungjawab atau syarat khusus yang perlu dipenuhi oleh pengarah itu di bawah Syarat-syarat Penyenaraian, tanpa mengira sama ada terdapat pelanggaran yang telah dilakukan oleh penerbit tersenarai.
Dalam menentukan kebersalahan setiap pengarah syarikat di bawah Syarat-syarat Penyenaraian, satu daripada faktor yang diambil kira ialah sama ada pengarah terbabit telah melaksanakan tanggungjawabnya terhadap syarikat, khususnya kewajipan berjaga-jaga, kemahiran dan usaha. Dalam hal ini, Bursa Malaysia adalah berpandukan kepada tugas yang wajib dipatuhi oleh pengarah di bawah Akta Syarikat 2016 (CA) termasuk Seksyen 213 CA, prinsip yang diperoleh daripada keputusan mahkamah/kes undang-undang dan prinsip serta amalan terbaik yang ditetapkan dalam Kod Tadbir Urus Korporat (“Corporate Governance Code”). Ini termasuk tugas/prinsip yang berikut:
Pengarah-pengarah mempunyai tanggungjawab berterusan untuk memastikan bahawa mereka memperoleh dan mengekalkan pengetahuan yang mencukupi dan pemahaman tentang perniagaan syarikat agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan sewajarnya sebagai pengarah.
Pengarah boleh mendelegasikan dan mempercayai kecekapan dan integriti pihak yang ditugaskan itu hingga ke suatu tahap yang munasabah (melainkan mereka menyedari keadaan yang menandakan sebaliknya). Walau bagaimanapun, ini tidak membebaskan pengarah daripada kewajipan berjaga-jaga berterusan dan tanggungjawab untuk menyelia pegawai dan pekerja yang telah didelegasikan tanggungjawab serta kewajipan berterusan untuk memastikan syarikat mempunyai struktur kawalan yang sesuai bagi melaksanakan penyeliaan tersebut.
Dalam hal ini, bagi menilai sama ada seorang pengarah telah memenuhi tanggungjawabnya di bawah Syarat-syarat Penyenaraian, rekod/keterangan yang boleh menjelaskan langkahlangkah/tindakan yang telah diambil oleh pengarah itu adalah penting dan akan dipertimbangkan, iaitu:
-
Langkah-langkah sewajarnya telah diambil untuk memastikan pematuhan kepada/mencegah pelanggaran Syarat-syarat Penyenaraian seperti:
- Memastikan bahawa syarikat telah mewujudkan, mengekalkan dan melaksanakan sistem dan proses tadbir urus yang efektif termasuk pengurusan risiko dan sistem kawalan dalaman.
- Mesyuarat lembaga dan jawatankuasa audit yang teratur mengikut jadual dan notis yang secukupnya telah diberikan serta dokumen dan maklumat telah diedarkan sebelum mesyuarat berlangsung.
- Mempunyai maklumat terkini berkenaan perniagaan dan operasi syarikat, melakukan siasatan dengan cara yang sepatutnya dan mengambil tindakan susulan terhadap siasatan yang dibuat.
- Mengelakkan daripada membuat keputusan tergesa-gesa, memastikan penilaian dan pertimbangan sewajarnya dibuat, serta membuat keputusan termaklum berdasarkan maklumat yang telah diberikan/diminta dan nasihat yang sewajarnya.
- Memastikan segala pertimbangan yang dibuat untuk keputusan penting direkod dengan sewajarnya, termasuk merekodkan pandangan yang berbeza dalam minit mesyuarat, dan memastikan penerbit tersenarai menyimpan rekod berkenaan (termasuk penyata kewangan dan minit mesyuarat).
- Menyimpan rekod tentang langkah yang diambil untuk menangani isu pematuhan (contohnya pematuhan terhadap obligasi untuk menerbitkan penyata kewangan).
-
Langkah-langkah yang efektif dan segera telah diambil untuk menyelesaikan sesuatu isu apabila isu tersebut mula diketahui bagi membolehkan/memastikan pematuhan.
Pengarah-pengarah boleh memperoleh pandangan dan panduan lebih lanjut tentang cara-cara untuk memenuhi peranan dan tugas mereka dengan berkesan di bawah Syarat-syarat Penyenaraian dengan merujuk kepada Kod Tadbir Urus Korporat oleh Bursa Malaysia yang terdapat di laman web Bursa Malaysia dan juga Kes-kes Penguatkuasaan Utama di bawah. Selain itu, sekiranya terdapat kemusykilan mengenai aplikasi Syarat-syarat Penyenaraian, penerbit tersenarai dan pengarah digalakkan untuk mendapatkan penjelasan daripada Bursa Malaysia.
Kes-kes Penguatkuasaan Utama yang dibentangkan di sini bertujuan untuk memudahkan dan meningkatkan kefahaman mengenai faktor-faktor yang dipertimbangkan oleh Bursa Malaysia semasa menentukan kebersalahan dan penalti yang dikenakan ke atas penerbit tersenarai dan pengarah-pengarah. Oleh sebab sesetengah Kes-kes Penguatkuasaan Utama ini adalah kes penguatkuasaan yang tidak melibatkan teguran awam, identiti penerbit tersenarai dan pengarah dianggap sebagai maklumat sulit dan oleh itu, tidak didedahkan. Untuk Kes-kes Penguatkuasaan Utama yang melibatkan teguran awam, tarikh dan pautan ke siaran media akan dipaparkan di bawah Kes Penguatkuasaan Utama yang berkenaan.
Kes-kes Penguatkuasaan Utama (dalam Bahasa Inggeris):
Key Enforcement Cases:
-
Delay in Issuance of Financial Statements [As at 22 February 2024]
-
Misleading Statements – Material deviation of the figures reported between the announced unaudited financial figures and audited financial figures for the same financial period by the listed company [As at 22 February 2024]
-
Other Disclosure Breaches - Promotional / Selective Disclosure / Delay in Announcing Material Information [As at 22 February 2024]
-
Inaccurate Disclosures / Announcements [As at 22 February 2024]
-
Provision of Financial Assistance [As at 24 February 2023]
-
Transaction Requirements [As at 24 February 2023]
-
Enforcement for Non-Compliance of Dealing in Quoted Securities by Directors under Chapter 14 of the LR [As at 22 February 2024]
-
Failure to Comply with Bursa Malaysia's Directives/Undertaking [As at 22 February 2024]
-
Failure to Establish Internal Audit Function [As at 24 February 2023]