PENGUATKUASAAN
Pendekatan Penguatkuasaan
Dalam mengambil tindakan terhadap pelanggaran peraturan kami, kami berusaha untuk memastikan agar proses dan tindakan kami adalah efektif dan cepat, adil, bebas dan telus. Untuk mencapai tujuan ini, pendekatan penguatkuasaan kami meliputi perkara berikut:
- Memberi keutamaan kepada tindakan penguatkuasaan bagi pelanggaran peraturan yang serius/ material (contohnya pelanggaran yang membawa impak ketara/material terhadap pasaran)
- Memberi penekanan yang lebih tinggi kepada penguatkuasaan terhadap pengarah berhubung dengan pelanggaran Syarat-syarat Penyenaraian oleh penerbit tersenarai
- Memastikan proses yang adil, bebas dan efisien
- Meningkatkan ketelusan dalam penguatkuasaan, di mana boleh
Proses wajar, kebebasan dalam membuat keputusan dan hak-hak pihak yang ingkar
Dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan, prinsip keadilan asasi (“natural justice”) dan proses sewajarnya (“due process”) akan dipatuhi/diberikan di mana pihak terbabit akan diberi pendengaran yang adil, iaitu mereka mempunyai peluang untuk memberi penjelasan dan mendapat wakil perundangan. Keputusan penguatkuasaan bagi pelanggaran serius/material akan dibuat oleh jawatankuasa kawal selia Bursa Malaysia yang berkenaan, yang terdiri daripada Jawatankuasa Peserta Pasaran (“Market Participants Committee”) (pelanggaran Peraturan Perniagaan), Jawatankuasa Penyenaraian (“Listing Committee”) (pelanggaran Syarat-syarat Penyenaraian) dan Jawatankuasa Rayuan (“Appeals Committee”) (rayuan terhadap keputusan pertama oleh Jawatankuasa Peserta Pasaran dan Jawatankuasa Penyenaraian). Jawatankuasa-jawatankuasa kawal selia ini adalah bebas kerana ahli-ahli jawatankuasa ini pada dasarnya terdiri daripada pihak luar yang bebas/pakar industri dengan pengalaman luas selaku pengamal dalam pelbagai bidang pasaran modal.
Faktor-faktor yang diambil kira dalam membuat keputusan mengenai tindakan penguatkuasaan/penalti
Dalam menentukan tindakan/penalti berpatutan yang dikenakan terhadap pelanggaran peraturan kami, pelbagai faktor akan diambil kira. Ini termasuk:
- sifat dan impak pelanggaran tersebut:
- sejarah disiplin/karakter lampau, latar belakang serta tingkah laku pihak yang ingkar:
- keadaan dan cara dalam mana pelanggaran berlaku:
- faktor-faktor yang boleh meringankan atau memberatkan penalti: dan
- kepentingan awam/elemen pencegahan (“deterrent effect”) bagi penalti yang dicadangkan.
Oleh itu, bergantung pada penilaian pelbagai faktor yang berkaitan dengan fakta dan keadaan bagi setiap kes, prosiding penguatkuasaan mungkin berbeza (iaitu prosiding penguatkuasaan segera (“expedited enforcement proceedings”) atau prosiding penguatkuasaan penuh) dan tindakan/penalti yang dikenakan juga mungkin berbeza bagi jenis pelanggaran yang sama/serupa oleh pihak yang berbeza.
Di bawah Syarat-syarat Penyenaraian, tindakan penguatkuasaan boleh dimulakan terhadap pengarah yang didapati melanggar tanggungjawab khusus mereka, atau apabila berlakunya pelanggaran oleh penerbit tersenarai, dan pengarah terbabit didapati telah menyebabkan, membantu, bersubahat atau membenarkan pelanggaran oleh penerbit tersenarai tersebut. Bagi menentukan sama ada seseorang pengarah telah menyebabkan, membantu, bersubahat atau membenarkan pelanggaran oleh penerbit tersenarai, Bursa Malaysia akan meneliti kebersalahan setiap pengarah termasuk pelaksanaan kewajipan fidusiari pengarah itu (iaitu kewajipan berjaga-jaga, kemahiran dan usaha) terhadap penerbit tersenarai berdasarkan keterangan dokumentari dan representasi yang dibuat.
Jenis-jenis Penalti
Jenis-jenis penalti yang mungkin dikenakan oleh Bursa Malaysia di bawah peraturannya termasuklah:-
- Teguran (peribadi atau awam)
- Denda
- Tindakan pemulihan (contohnya latihan wajib, semakan terhad ke atas penyata kewangan)
- Penggantungan
- Nyahsenarai (terhadap penerbit tersenarai) atau pembatalan/penamatan sebagai peserta
Ketelusan Penguatkuasaan dalam Pasaran
Dalam hal ini, kami menyebarkan dan berkongsi maklumat utama yang relevan berkaitan dengan penguatkuasaan kepada pasaran bagi tujuan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan kami. Dengan meningkatkan ketelusan penguatkuasaan dan juga keputusan/tindakan penguatkuasaan kami, kami berharap agar pasaran akan peka dan memahami tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh Bursa Malaysia. Ketelusan penguatkuasaan dicapai melalui, antara lain, penyiaran tindakan penguatkuasaan awam dan muatnaik Kes-kes Penguatkuasaan Utama kami di laman web Bursa Malaysia.
Selain itu, kami juga telah menerbitkan komunikasi mengenai Prosiding & Proses Penguatkuasaan/Disiplin Bursa Malaysia (ICON-DP) pada 30 Ogos 2017 yang memberikan gambaran keseluruhan tentang prosiding dan proses penguatkuasaan/disiplin yang dipakai di bawah Syarat-syarat Penyenaraian dan Peraturan Perniagaan. Ini bertujuan untuk menjadikan prosiding dan proses penguatkuasaan/disiplin Bursa Malaysia lebih telus dan memberikan penjelasan mengenainya, seterusnya meningkatkan kefahaman pasaran/industri dalam perkara ini.
Perundingan dengan Suruhanjaya Sekuriti berkenaan Penguatkuasaan
Dalam memulakan dan melaksanakan penguatkuasaan, Bursa Malaysia akan berunding dengan Suruhanjaya Sekuriti sekiranya perlu, untuk memastikan kawal selia pasaran modal yang efektif. Hal ini adalah penting terutamanya jika terdapat pelanggaran kedua-dua peraturan Bursa Malaysia dan juga undang-undang di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Sekuriti. Dalam hal sedemikian, Bursa Malaysia akan berunding dengan Suruhanjaya Sekuriti untuk memastikan sama ada Bursa Malaysia wajar memulakan tindakan penguatkuasaan.