PENGURUSAN RISIKO PERNIAGAAN
Pengurusan Risiko Strategik
Risiko Strategik merujuk kepada pendedahan Bursa kepada insiden dalaman dan luaran yang samada boleh menyokong atau menghalang Bursa daripada mencapai objektifnya. Bagi menyokong aspirasi Bursa untuk menjadi pasaran saham utama ASEAN, unit Risiko Strategik memantau perkembangan landskap persaingan. Risiko-risiko utama yang diambil perhatian daripada pembangunan pesaing-pesaing termasuklah pelancaran produk dan perkhidmatan baru, pakatan strategik melalui perkongsian atau pemerolehan ke atas lain-lain bursa saham, dan gangguan kepada pasaran yang sedang membangun dari perkhidmatan Teknologi Kewangan (Fintech) seperti bitcoin, penasihat robo dan dagangan algorithma. Risiko-risiko sedemikian mungkin diketengahkan dengan segera untuk perbincangan bersama kedua-dua peringkat pengurusan dan jawatankuasa-jawatankuasa risiko, bertujuan supaya ia diambilkira untuk pertimbangan pada sesi semakan semula pelan perniagaan yang berikutnya.
Di samping itu, unit Risiko Strategik juga memantau projek-projek yang memberi impak tinggi untuk menilai implikasinya ke atas kemajuan Bursa dalam mencapai objektif strategiknya seperti yang digariskan dalam pelan perniagaan semasa. Penilaian risiko projek-projek sedemikian dijalankan sebelum projek-projek itu dilaksanakan dan juga semasa peringkat pelaksanaan. Memandangkan projek-projek ini bertujuan untuk menyokong Bursa mencapai objektif strategiknya di samping memitigasikan kesan-kesan daripada persaingan, ia adalah penting untuk mengenalpasti sebarang risiko pelaksanaan projek dan menanganinya dengan segera dan sewajarnya.