PENGURUSAN RISIKO PERNIAGAAN
Pengurusan Risiko Perundangan dan Pengawalseliaan
Pengurusan Risiko Perundangan dan Pengawalseliaan bertujuan untuk memastikan agar pendedahan Bursa kepada liabiliti perundangan semasa urusan perniagaan seperti peraturan pelaksanaan atau liabiliti produk dikawal dengan baik untuk mengelakkan gangguan kepada perniagaan dan operasinya. Jika tidak, liabiliti perundangan boleh memberi impak yang signifikan ke atas reputasi Bursa yang seterusnya boleh menjejaskan keyakinan pelabur dalam pasaran. Sehubungan dengan itu, unit Risiko Perundangan dan Pengawalseliaan memantau sebarang kes litigasi baru atau yang masih berlarutan untuk menilai potensi impak negatif kes-kes ini kepada pasaran, reputasi dan kedudukan kewangan Kumpulan. Satu daripada faktor yang menyumbang kepada pendedahan kepada liabiliti perundangan adalah terma dan syarat yang terkandung dalam kontrak-kontrak. Unit Risiko Perundangan dan Pengawalseliaan menyemak semula kontrak-kontrak ini dari semasa ke semasa untuk memastikan konsistensi terma dan syarat yang terkandung di dalamnya.
Satu lagi bidang utama yang dipantau unit Risiko Perundangan dan Pengawalseliaan pantau adalah lanskap penguatkuasaan dan kawalselia yang telah menjadi semakin kompleks dan mahal untuk dipatuhi. Dengan rentak perubahan yang pantas di dalam bidang ini, terdapat satu risiko yang sentiasa wujud iaitu Kumpulan mungkin melanggar peraturan baru dan menerima amaran atau dikenakan denda tinggi dari pihak pengawalselia. Oleh itu, adalah penting untuk unit Risiko Perundangan dan Pengawalseliaan agar sentiasa mengikuti peraturan baru dan menilai implikasinya ke atas operasi perniagaan Kumpulan.
Kumpulan ini akan terus menyemak dan meningkatkan proses dan prosedur di atas sejajar dengan praktis dan standard global untuk memastikan bahawa rangka kerja pengurusan risiko kekal relevan dan boleh digunapakai dalam persekitaran pasaran semasa.