Kenyataan Media
BURSA MALAYSIA ‘RINGS THE BELL FOR FINANCIAL LITERACY’ SEMPENA SAMBUTAN MINGGU PELABUR SEDUNIA 2020
Sempena dengan Minggu Pelabur Sedunia 2020, Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) semalam telah menganjurkan upacara “Rings the Bell for Financial Literacy”, dalam usahanya untuk menyokong pendidikan dan keselamatan pelabur. Seiring dengan upacara tersebut, Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia telah memalu gong upacara Bursa Malaysia di hadapan penonton-penonton maya yang mengambil bahagian dalam sebuah persidangan web mengenai pelaburan berhemah.
Ketika berucap dalam sesi pembukaan persidangan web tersebut, Datuk Umar berkata, “Di Bursa Malaysia, kami mempunyai komitmen yang kukuh dalam mendokong kecelikan kewangan di pasaran saham kita khasnya dan komuniti secara amnya. Ia adalah agenda yang penting dalam bukan sahaja menggalakkan penyertaan runcit tetapi juga mengukuhkan keselamatan pelabur melalui pendidikan. Lantaran itu, apabila produk kewangan menjadi semaking kompleks, program-program pendidikan kami bertujuan mempertingkatkan kesedaran pelabur mengenai penipuan kewangan yang kian meningkat setiap hari. Kami percaya seseorang pelabur yang berhemah kurang berkemungkinan untuk menjadi mangsa penipuan kewangan.”
Selama 12 bulan yang lepas, Bursa Malaysia telah mempergiatkan penggunaan teknologi digital untuk mencapai lebih ramai orang dan mempromosikan penyertaan kewangan. Pada bulan Jun, Bursa telah melancarkan Akademi Bursa, sebuah platform e-pembelajaran yang menyasarkan pelabur runcit yang terlibat dengan sekuriti, derivatif dan pasaran modal Islam. Sejak pelancarannya, Akademi Bursa telah terus berkembang dengan pendaftaran seramai 93,000 pengguna dan 217,000 paparan halaman pada penghujung bulan September 2020. Melalui 168 persidangan web digital yang diadakan sepanjang tempoh permulaan pandemik, Bursa telah berjaya untuk berhubung dengan 51,943 pelabur.
“Program-program kami dirangka untuk menambah pengetahuan pelabur dan menghasilkan pelabur berhemah yang membuat pelaburan secara bertanggungjawab. Saya menggalakkan para pelabur untuk menghadiri persidangan- persidangan web yang dijalankan oleh Bursa dan Suruhanjaya Sekuriti yang ditawarkan secara percuma. Kami berikhtiar untuk menawarkan program-program yang menarik dan relevan secara berterusan kepada segmen pelabur peruncit. Saya mengesyorkan kepada semua orang untuk menggunakan sepenuhnya platform digital kami yang kaya dengan bahan dan yang ditawarkan oleh Akademi Bursa dan Bursa Malaysia,” Datuk Umar menyimpulkan.
‘Rings the Bell for Financial Literacy’ adalah sebuah inisiatif global oleh Pertubuhan Pasaran Saham Sedunia untuk menggalakkan kecelikan kewangan dan memperkukuhkan penyertaan kewangan (financial inclusion). Pada tahun ini, hampir 40 pasaran saham seluruh dunia telah bersama untuk menyokong objektif inisiatif ini.
Untuk meninjau senarai persidangan web yang akan datang, sila layari halaman Akademi Bursa di https://bursaacademy.bursamarketplace.com/en/home.
FOTO MAJLIS:
Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia sedang memalu gong untuk menandakan sokongan bagi upacara “Rings the Bell for Financial Literacy”