Kenyataan Media
BURSA MALAYSIA MEMULAKAN KEMPEN PENGUMPULAN DANA KANSER PAYUDARA SEMPENA MENYOKONG BULAN KESEDARAN KANSER PAYUDARA
Dalam usaha mengiktiraf bulan Kesedaran Kanser Payudara atau ‘Pink October’, Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) telah melancarkan sebuah kempen mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser payudara dalam kalangan wanita- wanita Malaysia daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus terbawah atau B40. Bursa Malaysia akan menyumbang RM10 bagi setiap akaun CDS yang dibuka oleh pelabur wanita kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM). Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Bursa Malaysia untuk menggalakkan kesamarataan jantina (gender equality) di pasaran saham.
Seiring dengan usaha pengumpulan dana ini, Bursa Malaysia berhasrat untuk mempromosi penyertaan lebih ramai pelabur-pelabur wanita di pasaran ekuiti untuk merapatkan jurang di antara jantina (gender gap) pelabur-pelabur lelaki dan wanita. Di Malaysia, para wanita merupakan hanya 30% daripada jumlah keseluruhan pelabur. Oleh yang demikian, jurang pelaburan antara jantina ini mengekang akses para wanita kepada peluang pelaburan yang boleh menyumbang kepada kedudukan kebebasan kewangan yang lebih luas.
Dalam menyahut usaha yang murni ini, beberapa broker saham lain turut mengambil bahagian termasuk AmInvestment Bank Berhad, Hong Leong Investment Bank Berhad, JF APEX Securities Berhad, KAF Securities Sdn Bhd, Malacca Securities Sdn Bhd, dan RHB Investment Bank Berhad. Broker-broker saham ini akan menawarkan pelbagai promosi untuk menjayakan kempen tersebut termasuk diskaun dan persidangan web percuma untuk menggalakkan lebih ramai wanita memulakan perjalanan pelaburan mereka.
“Memberi keutamaan kepada kesihatan dan kesejahteraan pemegang–pemegang kepentingan kami akan membantu dalam menyumbang kepada kelestarian pasaran saham di Malaysia. Kami akan terus berkerjasama dengan broker saham kami bagi memastikan usaha yang gigih dilakukan oleh peserta pasaran modal untuk memupuk kesedaran terhadap perkara yang penting ini. Pencegahan dan pengesanan awal adalah lebih penting sekarang berbanding dengan sebelumnya terutama sekali untuk golongan yang kurang diberi perhatian.
“Dalam pada itu, usaha – usaha untuk merapatkan jurang pelaburan antara jantina dalam pasaran saham adalah juga sama pentingnya kerana ia akan memberikan peluang kepada wanita – wanita untuk menjana kekayaan secara positif. Bantuan dan sokongan anda amat dihargai untuk menjayakan ikrar kami sempena bulan kesedaran kanser payudara sedunia,” kata Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia.
Kempen Kesedaran Kanser Payudara tersebut akan berjalan sehingga 18 Disember 2020.