Bursa Malaysia

English | Bahasa Malaysia | 简体中文

Semat Menu

Klik disini untuk tidak semat menu.
Anda di sini: Pasaran » Laman Utama » Kelestarian » Pengenalan » Apakah Kelestarian?

Pengenalan

Bursa Malaysia sentiasa menggalakkan kelestarian sebagai kunci kejayaan bagi perniagaan hari ini. Satu pendekatan holistik bagi pengurusan perniagaan, menggabungkan pertimbangan terhadap ekonomi, alam sekitar dan tadbir urus beserta dengan pertimbangan kewangan, boleh menjadi model perniagaan yang kukuh yang menyokong kelangsungan perniagaan dan pewujudan nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan dan masyarakat amnya.

Apakah Kelestarian?

Apakah Kelestarian?

Tiada definisi universal bagi kelestarian. Pelbagai terma dan definisi berkenaan dengan kelestarian (seperti “tanggungjawab sosial”, “kewarganegaraan korporat”, “pembangunan lestari”, “ESG”, “CSR”, “pulangan tiga kali ganda”) telah muncul dalam beberapa dekad lepas dan telah digunakan secara berbeza dalam pelbagai konteks, tetapi pada asasnya, ia merujuk kepada suatu tujuan yang sama. Definisi global paling meluas digunakan adalah yang dibangunkan oleh Brundtland Report daripada Suruhanjaya Dunia bagi Alam Sekitar dan Pembangunan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1987. Ia menggambarkan pembangunan lestari sebagai:

‘Pembangunan yang memenuhi keperluan sekarang tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka’1

Tekanan pemegang kepentingan dan keadaan pasaran yang berubah (rujuk kepada “Mengapa Kelestarian adalah Penting”) memaksa lebih banyak organisasi untuk mencari kaedah baru untuk menjalankan perniagaan mereka bagi memastikan ia kekal berdaya saing dan maju dalam jangka panjang. Sesetengah orang mungkin bertanya sama ada menjadi lestari bermaksud sesebuah organisasi perlu mengorbankan pulangannya. Kajian-kajian kes dan penyelidikan menunjukkan bahawa menjadi lestari memberi manfaat kepada prestasi perniagaan dalam jangka masa panjang. Sila rujuk “Faedah Memupuk Kelestarian” untuk maklumat lanjut.

Apakah perbezaan antara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kelestarian?               

CSR adalah "komitmen berterusan oleh perniagaan untuk bertindak secara beretika dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi sambil meningkatkan kualiti kehidupan tenaga kerja dan keluarga mereka serta komuniti tempatan dan masyarakat keseluruhannya"2. Anggapan biasa adalah perbezaan utama antara kelestarian dan CSR adalah CSR memberi tumpuan kepada aspek sosial perniagaan, tetapi perbezaaannya adalah lebih halus daripada itu. CSR terdiri daripada sumbangan yang dibuat oleh organisasi kepada masyarakat. Ia memberi tumpuan kepada aktiviti bersifat dermawan, dan tidak semestinya menangani kebimbangan berkaitan kelestarian yang berkait dengan operasi perniagaan syarikat. Kelestarian walau bagaimanapun, adalah lebih memandang jauh ke hadapan, dan memberi tumpuan kepada pengurusan impak organisasi kepada ekonomi, alam sekitar dan masyarakat di samping memastikan masa depannya sendiri. Ini bermakna menangani isu seperti kekurangan sumber, populasi yang meningkat umur dan ketidakseimbangan ekonomi, yang kesemuanya bukan sahaja memberi impak kepada masyarakat tetapi juga organisasi.

Apakah EES dan ESG dan bagaimana ia berkait dengan Kelestarian?

Terma EES (ekonomi, alam sekitar dan sosial) dan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) tidak dibezakan dengan jelas dan sering digunakan secara bertukar-tukar. EES biasanya dianggap sebagai 3 teras kelestarian. ESG adalah terma yang digunakan secara meluas, terutamanya oleh komuniti pelaburan yang menggambarkan perkara-perkara berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang diambilkira oleh pelabur dalam konteks kelakuan korporat.3


1 World Commission on Environment and Development, "Our Common Future", 1987

2 World Business Council for Sustainable Development, "Corporate Social Responsibility"

3 United Nations Environment Program Finance Initiatives and World Business Council for Sustainable Development, "Translating environmental, social and governance factors into sustainable business value: Key insights for companies and investors", 2010