Bursa Malaysia

English | Bahasa Malaysia | 简体中文

Semat Menu

Klik disini untuk tidak semat menu.
Anda di sini: Pasaran » Laman Utama » Pasaran Islam » Produk » Pasaran Modal Islam » Saham Tersenarai Patuh Syariah

Produk

Bursa Malaysia menawarkan pelbagai rangkaian produk Pasaran Islam yang patuh Syariah merangkumi saham, komoditi dan sukuk.

Saham Tersenarai Patuh Syariah

Pasaran Modal Islam

Saham Tersenarai Patuh Syariah

Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melulus dan mengemaskini senarai saham yang tersenarai di Bursa Malaysia yang diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah. Senarai yang dikemaskini setiap Mei dan November ini menjadi rujukan bagi dana unit amanah Islam, dana Takaful, syarikat pembrokeran saham Islam dan para pelabur yang berminat dengan pelaburan patuh Syariah. Senarai ini bertujuan untuk mencapai beberapa objektif seperti berikut:

  • Memudahkan pelabur yang ingin melabur dalam saham patuh Syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia
  • Pemusatan keputusan Syariah di peringkat tempatan
  • Mempertingkatkan penzahiran dan ketelusan
  • Menyokong pembangunan pasaran modal Islam
  • Menggalakkan pembangunan instrumen kewangan Islam

Apakah kaedah yang digunakan untuk menyaring saham patuh Syariah?

MPS SC menyaring saham tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan kaedah tertentu. Sebagai saringan awal, saham syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak bertentangan dengan prinsip Syariah akan diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah. Saham sesebuah syarikat akan dianggap sebagai tidak patuh Syariah sekiranya syarikat tersebut terlibat dalam mana-mana aktiviti perniagaan teras berikut:

  • Perkhidmatan kewangan berasaskan riba (faedah)
  • Pertaruhan dan perjudian
  • Pengeluaran atau penjualan barangan tidak halal atau barangan yang berkaitan
  • Insurans konvensional
  • Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan Syariah
  • Pembuatan atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan
  • Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh Syariah
  • Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah

Bagi syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan bercampur yang merangkumi kedua-dua aktiviti patuh Syariah dan aktiviti tidak patuh Syariah, MPS SC mengambil kira tahap percampuran sumbangan aktiviti patuh Syariah dan aktiviti tidak patuh Syariah kepada perolehan dan keuntungan sebelum cukai syarikat-syarikat tersebut. MPS SC mengguna pakai tanda aras tertentu yang berpandukan ijtihad (proses mengeluarkan pendapat daripada sumber Syariah oleh ulama yang layak). Sekiranya sumbangan daripada aktiviti tidak patuh Syariah melebihi tanda aras yang dibenarkan, saham syarikat tersebut akan diklasifikasikan sebagai sekuriti tidak patuh Syariah.

MPS SC selanjutnya akan menilai pengurusan kewangan syarikat berdasarkan tanda aras nisbah kewangan. Tanda aras nisbah kewangan ini bertujuan untuk mengenal pasti riba dan elemen berteraskan riba dalam kedudukan kewangan sesebuah syarikat.

Selain daripada itu, MPS SC turut mengambil kira aspek kualitatif yang melibatkan pandangan umum masyarakat atau kesesuaian imej aktiviti syarikat daripada perspektif ajaran Islam.

Sila klik di sini untuk maklumat lanjut.

Berapa banyakkah daripada saham tersenarai adalah patuh Syariah?

Sehingga 25 November 2016, sebanyak 672 atau 74% daripada saham yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah patuh Syariah. Sila klik di sini untuk mendapatkan senarai lengkap sekuriti patuh Syariah yang ditanda dengan symbol “[S]”.

Adakah terdapat indeks saham Islam?

Bursa Malaysia, dengan kerjasama penyedia indeks global, FTSE Russell telah melancarkan tiga (3) indeks saham Islam untuk menjejak pencapaian sekuriti patuh Syariah:

  1. Indeks FTSE Bursa Malaysia Hijrah Syariah
  2. Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS Syariah
  3. Indeks FTSE Bursa Malaysia Modal Kecil Syariah

Selain daripada berfungsi sebagai penanda aras pencapaian, indeks-indeks ini berguna dalam penerbitan produk berstruktur, dan sebagai rujukan untuk dana penjejak indeks. Saham-saham syarikat yang membentuk indeks-indeks ini disaring dari segi permodalan pasaran, apungan bebas dan kecairan.

Sila klik di sini untuk maklumat lanjut.