Bursa Malaysia

English | Bahasa Malaysia | 简体中文

Semat Menu

Klik disini untuk tidak semat menu.
Anda di sini: Korporat » Laman Utama » Kelestarian » Lain-Lain » Penyataan berkenaan Amalan Buruh dan Etika Kerja yang Sesuai

Lain-Lain

Bursa Malaysia beriltizam menyampaikan nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan dengan mewujudkan pasaran yang bertenaga, melindungi integriti pasaran kami dan menjadi sebuah syarikat tersenarai awam yang bertanggungjawab. Kami sentiasa mendekati pihak berkepentingan kami untuk memastikan bahawa kami mengintegrasikan unsur-unsur ekonomi, sosial dan alam sekitar yang utama dan berjangka panjang ke dalam amalan dan strategi perniagaan kami.

Penyataan berkenaan Amalan Buruh dan Etika Kerja yang Sesuai

Penyataan berkenaan Amalan Buruh dan Etika Kerja yang Sesuai

Menyampaikan Dasar-Dasar Kami

Semua dasar-dasar kami ada di dalam Portal Maklumat Pekerja Bursa Malaysia (My1818). Sebarang pengemaskinian kepada polisi-polisi disampaikan kepada pekerja kami melalui saluran komunikasi utama kami, Bursa@Work. Dasar-dasar adalah kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris, yang merupakan bahasa komunikasi utama kami.

Tenaga Kerja, Perekrutan dan Susutan

Kami telah mewujudkan Garis Panduan Pengambilan dan Penamatan sebagai panduan bagi proses pengambilan kami. Kami menilai calon-calon berdasarkan kecekapan teras dan teknikal, pengalaman kerja dan kelayakan mereka. Pelbagai alat digunakan dalam proses pemilihan untuk memastikan keobjektifan dalam pemilihan calon-calon.

Waktu Bekerja

Selain daripada waktu bekerja standard kami dari jam 8:45 pagi hingga 5:30 petang, pekerja kami boleh juga memilih waktu bekerja alternatif dari jam 9:30 pagi hingga 6:30 petang. Tiga syif kerja boleh dimanfaatkan oleh pekerja yang bekerja di bahagian-bahagian yang beroperasi selama 24 jam seperti Bahagian Keselamatan. Sabtu ialah hari tidak bekerja manakala Ahad ialah hari rehat di Bursa Malaysia. Pekerja adalah berhak mendapat hari rehat dan cuti bergaji pada semua cuti umum Persekutuan yang diwartakan.

Gaji Minimum, Saraan, Faedah dan Pencen

Bursa Malaysia mematuhi perintah gaji minimum yang telah ditetapkan. Kami menawarkan faedah dan pampasan yang kompetitif untuk menarik dan mengekalkan tenaga mahir yang terbaik bagi kemampanan Bursa Malaysia dan pasaran. Pekerja kami menikmati pelbagai faedah seperti faedah persaraan dan sebuah Pelan Geran Saham sebagaimana yang diperincikan di dalam seksyen Data Prestasi EES Laporan ini dan di dalam Penyata Kewangan Laporan Tahunan 2016.

Cuti Ibu Bapa

Waktu bekerja alternatif kami menyediakan pilihan kepada pekerja kami yang berkeluarga. Pekerja kami juga berhak mendapat cuti tahunan dan kelayakan mereka adalah berbeza-beza bergantung kepada pelbagai aspek. Selain daripada cuti tahunan, pekerja wanita diberikan cuti bersalin selama 60 hari berturut-turut sehingga kelahiran anak yang kelima. Kami juga menawarkan dua hari bekerja cuti paterniti untuk pekerja apabila anak-anak mereka dilahirkan. Maklumat tambahan turut terdapat di dalam seksyen Data Prestasi EES Laporan ini.

Kebebasan Berpersatuan, Rundingan Bersama dan Perhubungan Pekerja/Pengurusan

Bursa Malaysia mengiktiraf Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perdagangan (NUCW) yang merupakan sebuah kesatuan sekerja yang berdaftar menurut Akta Kesatuan Sekerja, sebagai sebuah agensi rundingan bersama eksklusif yang dianggotai oleh pekerja kami yang layak.

Semua pekerja bukan eksekutif kami adalah tertakluk kepada terma-terma sebuah Perjanjian Bersama (CA) selama tiga tahun. CA itu meliputi unsur-unsur termasuk keadaan tempat kerja serta dasar pekerjaan seperti tempoh percubaan, disiplin, struktur saraan, bonus, cuti, waktu bekerja, kerja lebih masa, hari rehat, cuti bersalin dan paterniti, kelewahan, persaraan, elaun dan manfaat perubatan, antara lainnya. Perjanjian itu turut meliputi topik-topik mengenai kesihatan dan keselamatan pekerja seperti kemasukan ke hospital, penyakit berpanjangan, perlindungan insurans dan pampasan bagi kemalangan serta penyediaan topi keledar bagi ketua tingkat.

Notis bertulis dengan tempoh tidak kurang daripada tiga bulan akan diberikan kepada pekerja dan NUCW sebelum pelaksanaan perubahan operasi penting yang mungkin banyak menjejaskan mereka.

Tidak ada laporan yang diterima mengenai kesalahan melanggar hak-hak pekerja untuk mengamalkan kebebasan berpersatuan atau rundingan bersama pada tahun 2016.

Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Bursa Malaysia komited untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja, kontraktor dan pelawat. Bagi pekerja kami, kami menyokong keseimbangan budaya kerja dan menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan melalui aktiviti-aktiviti dan program-program seperti kempen-kempen kesejahteraan, kesedaran dan ceramah-ceramah oleh pengarang. Kami juga mengeluarkan komunikasi dalaman mengenai isu-isu kesihatan apabila timbul keadaan tertentu.

Kami telah mewujudkan dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (“OSH”), yang meliputi semua pekerja, kontraktor dan pelawat-pelawat kami. Kami juga mempunyai sebuah Jawatankuasa OSH yang terdiri daripada 10 orang ahli. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Perkhidmatan Keselamatan dan dibantu oleh seorang wakil daripada Pasukan Pengurusan Bangunan, empat orang wakil yang dilantik oleh pengurusan dan empat orang wakil pekerja.

Latihan dan Pendidikan

Kami yakin terhadap latihan dan pembangunan yang berterusan untuk membina keupayaan tenaga mahir. Kami membuat pelaburan untuk memastikan tenaga kerja kami dilengkapi dengan latihan fungsi dan teknikal untuk meningkatkan kecekapan mereka. Perkara tersebut juga seiring dengan usaha bersepadu kami untuk melahirkan pemimpin yang berkesan di Bursa Malaysia melalui pengukuhan kemahiran pengurusan dan kepimpinan mereka.

Majlis Tenaga Mahir Bursa Malaysia memberikan perundingan dan bimbingan bagi semua inisiatif pengurusan tenaga mahir Bursa Malaysia termasuk pengurusan penggantian. Majlis tersebut menetapkan hala tuju dan menilai serta meluluskan strategi pembangunan tenaga mahir untuk memastikan pembangunan tenaga mahir secara berstruktur. Program-program pembangunan yang telah dipadankan dengan kecekapan ketingkahlakuan pekerja yang diharapkan bagi setiap gred kerja. Pengurusan tertinggi kami turut menjalani program pembangunan yang berbeza bagi pengayaan pengetahuan dan pendedahan global dalam bidang mereka masing-masing. Matlamat program-program tersebut ialah untuk memastikan bahawa tenaga mahir kami memperoleh kecekapan yang diperlukan untuk merealisasikan hasrat Bursa Malaysia.

Dengan perbelanjaan rapi bagi pembelajaran dan pembangunan, kami telah menunjukkan peningkatan purata hari pembelajaran untuk setiap pekerja iaitu daripada 4 hari kepada 5 hari. Perincian latihan yang dilaksanakan mengikut jantina dan kategori pekerja terdapat di dalam Data Prestasi EES.

Sebagai sebahagian daripada ekosistem pembelajaran dan pembangunan, kami telah melancarkan Pelan Pembangunan Individu yang dipertingkatkan untuk merekodkan keperluan latihan dan pembangunan individu serta perancangan program-program yang berkaitan untuk mengatasi jurang kecekapan. Kami juga telah melakukan satu Kaji Selidik Keterlibatan Pekerja untuk mengenal pasti peluang-peluang penambahbaikan yang lain.

Bagi memupuk budaya pengetahuan dan perkembangan diri, Laporan Maklumat Pasaran Modal dalam talian (“eCMIR”) disediakan untuk mendidik pekerja kami tentang pasaran modal. Kami juga membantu komuniti melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Knowledge Centre@Bursa.

Kepelbagaian, Peluang Sama dan Tak Diskriminasi

Kami merupakan majikan peluang sama dan akan kekal berpandukan prinsip meritokrasi dan kesaksamaan dalam semua keputusan tentang pekerjaan, pertukaran, faedah, ganjaran dan pembangunan profesional bagi pekerja kami.

Kami tidak mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan bangsa, jantina atau agama dan perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Kod Etika (Kod) kami. Kami menyediakan peluang pekerjaan kepada orang kelainan upaya dan pada masa ini terdapat dua orang kelainan upaya dalam kumpulan tenaga kerja kami.

Bursa Malaysia komited untuk memastikan bahawa gabungan dan profil ahli-ahli Lembaga Pengarah (Lembaga) dan pekerja kami, daripada aspek umur, kumpulan etnik dan jantina, menyediakan berbagai-bagai perspektif, pengalaman dan kepakaran yang diperlukan untuk mencapai matlamat kami. Kami mendedahkan komposisi ahli-ahli Lembaga kami mengikut umur, kumpulan etnik dan jantina dalam laporan tahunan kami. Pecahan maklumat yang sama bagi pekerja kami boleh didapati di dalam Data Prestasi EES.

Mekanisme Kilanan bagi Amalan Buruh

Kami telah mewujudkan satu prosedur kilanan untuk menangani sebarang pertikaian pekerja antara pekerja kami atau NUCW dengan pihak Pengurusan. Prosedur itu diperincikan di dalam Buku Panduan Pekerja, yang terdapat di dalam My1818. Bagi pekerja yang tertakluk kepada CA, mereka boleh merujuk kepada peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 atau mana-mana undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa bagi apa-apa pertikaian.

Tidak terdapat sebarang laporan kilanan tentang amalan buruh kami melalui mekanisme kilanan rasmi pada tahun 2016.