Pencegahan Rasuah

Kod Etika (Kod) kami memastikan integriti, kejujuran, disiplin dan komitmen peribadi yang tinggi untuk melakukan yang terbaik demi kepentingan Bursa Malaysia. Kod, yang boleh didapati di portal kakitangan kami (My1818), merangkumi aspek penting termasuk pengendalian maklumat sulit, urus niaga dalam sekuriti dan konflik kepentingan. Ia juga menetapkan aktiviti atau salah laku yang dilarang seperti meminta atau menerima hadiah (yang melebihi nilai tertentu), ganjaran dan rasuah serta ketidakjujuran dan gangguan seksual. Kakitangan kami akan menandatangani Borang Pengisytiharan bahawa mereka telah menerima, membaca dan bersetuju untuk mengamalkan dan mematuhi Kod pada setiap masa. Kakitangan kami akan dimaklumkan mengenai sebarang pindaan kepada Kod melalui email.

Kakitangan kami juga bertanggungjawab untuk melaporkan sebarang pelanggaran terhadap Kod kepada Ketua Audit Dalaman yang melapor secara langsung kepada Jawatankuasa Audit.

Kami telah menilai pelbagai operasi mengenai risiko yang berkaitan rasuah dan telah mengenal pasti risiko besar seperti yang dihuraikan dalam Polisi Pengurusan Risiko Korporat - Polisi Penipuan dan Penyalahgunaan Di Tempat Kerja yang didapati di My1818. Kami kerap mengingatkan kakitangan kami melalui e-mel mengenai keperluan untuk mematuhi Kod terutamanya yang berkaitan dengan meminta atau menerima hadiah (yang melebihi nilai tertentu), ganjaran dan rasuah.

Dengan sukacitanya kami melaporkan bahawa tiada kejadian pemberian atau penerimaan rasuah yang melibatkan kakitangan kami, dan tiada kakitangan yang dikenakan tindakan disiplin atau diberhentikan kerana pemberian atau penerimaan rasuah. Tiada denda, penalti atau penyelesaian yang dibayar berhubung dengan pemberian dan penerimaan rasuah pada tahun 2017.

Polisi Awam

Kami mengutamakan permintaan berkaitan pasaran modal dalam penajaan kami. Berkenaan dengan derma, kami terus membantu golongan yang layak dan memerlukan. Permintaan bagi tajaan dan derma dikendalikan mengikut proses yang diluluskan. Bursa Malaysia tidak membuat apa-apa sumbangan kewangan berunsur politik.

Tingkah Laku Anti-Persaingan

Bursa Malaysia telah menubuhkan Polisi Pematuhan Undang-Undang Persaingan (Competition Law Compliance Policy - CLCP) untuk memberi panduan mengenai pematuhan undang-undang persaingan yang diperkenalkan di Malaysia apabila Akta Persaingan 2010 berkuat kuasa pada Januari 2012. CLCP adalah selaras dengan hasrat Bursa Malaysia untuk mengamalkan persaingan dan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan kerancakan pasaran di mana ia menjalankan operasi, pada keseluruhannya.

CLCP menyediakan rangka kerja umum bagi kakitangan Bursa Malaysia untuk mengenal pasti isu-isu undang-undang persaingan, untuk mengelakkan tatalaku yang boleh dipersoalkan dan mendapatkan nasihat yang sewajarnya daripada pihak yang berkaitan di mana terdapat keraguan. Satu salinan CLCP boleh didapati di My1818.

Pematuhan

Bursa Malaysia juga mewujudkan Garis Panduan Pematuhan Perundangan (Garis Panduan) untuk menyediakan pendekatan yang seragam dalam memastikan pematuhan terhadap semua undang-undang, peraturan dan garis panduan yang diguna pakai yang terpakai terhadap Bursa Malaysia sebagai sebuah entiti. Garis Panduan ini membawa kepada pewujudan Daftar Pematuhan Perundangan (Legislation Compliance Register - LCR). Di samping menggariskan peranan, tanggungjawab dan kebertanggungjawaban pihak-pihak yang berkaitan terhadap semua undang-undang, peraturan dan garis panduan yang berkenaan, Garis Panduan tersebut juga memastikan kemas kini dari masa ke semasa terhadap LCR.

Tiada denda wang atau sanksi bukan wang bagi ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan pada tahun 2017.