Bursa Malaysia

English | Bahasa Malaysia | 简体中文

Semat Menu

Klik disini untuk tidak semat menu.
Anda di sini: Korporat » Laman Utama » Kelestarian » Perutusan CEO

Perutusan CEO

"We are pleased to present Bursa Malaysia’s Sustainability Report 2016 to all our stakeholders."
~ Datuk Seri Tajuddin bin Atan, CEO

Corporate - Sustainability - CEO Message Thumbnail

Para Pemegang Berkepentingan yang Dihormati,

Bursa Malaysia memainkan peranan yang unik dalam pasaran modal Malaysia kerana kami bertindak sebagai pengawal selia, pengendali pasaran, badan berpengaruh dan syarikat tersenarai awam. Kedudukan kami meletakkan Bursa Malaysia sebagai peneraju dalam memupuk budaya kemampanan dalam pasaran modal, manakala sebagai sebuah bursa kami bukan sahaja bertindak sebagai badan berpengaruh kepada syarikat-syarikat tersenarai lain tetapi juga sebagai penentu rentak dan hala tuju bagi sumbangan bersama syarikat-syarikat tersenarai untuk pembangunan sebuah pasaran modal yang mampan.

Pada 2016, kami menyaksikan pertumbuhan dalam pelaburan bertanggungjawab di mana lebih ramai pelabur telah berpegang kepada Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PRI), yang kini mewakili 1500 penandatangan bernilai AS$62 trilion bagi Aset di bawah Pengurusan (AUM) di seluruh dunia. Ini semestinya akan menyebabkan permintaan yang lebih tinggi untuk pendedahan tadbir urus dan kemampanan. Dengan mendedahkan maklumat tersebut menerusi laporan tahunan dan laporan kemampanan, syarikat-syarikat tersenarai kami sedang bersiap sedia untuk masa hadapan dengan memenuhi kehendak-kehendak pelabur yang semakin meningkat di mana penciptaan nilai akan disampaikan menerusi strategi perniagaan yang merangkumi pemantauan metrik-metrik bukan kewangan.

Kami melihat kemampanan sebagai satu aspek strategik yang meletakkan Bursa Malaysia sebagai bursa peneraju di ASEAN menjelang 2020. Ketika bursa-bursa saham di seluruh dunia sedang meningkatkan usaha ke arah mencapai kemampanan menerusi keperluan penyenaraian, garis panduan serta perkhidmatan dan produk berkaitan ESG, adalah penting untuk Bursa Malaysia berinovasi dan terus berada di hadapan bagi mengekalkan kepimpinan kami sebagai pasaran modal mampan untuk pelaburan bertanggungjawab dan penjanaan dana di rantau ini.

Kemampanan juga merupakan satu alat pengurusan risiko yang membantu kami menilai dan mempertingkatkan cara pengurusan dan pengendalian perniagaan kami secara holistik. Terdapat manfaat yang jelas bagi perniagaan yang memupuk prinsip-prinsip kemampanan dalam organisasi mereka, yakni dari segi peningkatan prestasi kewangan jangka panjang hinggalah kepada penambahbaikan akses modal serta penarikan dan pengekalan bakat.

Fokus kami pada 2016 adalah ke atas penyemakan semula proses kematanan kami dan mendekati para pemegang berkepentingan kami sebagai sebahagian daripada strategi kemampanan jangka panjang. Semasa tahun tinjauan, kami telah menjalankan penilaian kematanan dan mengenal pasti aspek-aspek kemampanan yang penting iaitu Integriti dan Kestabilan Pasaran, Persaingan, Teknologi dan Bakat. Keempat-empat aspek ini dibincangkan secara mendalam di dalam laporan ini. Selain faktor-faktor penting tersebut, kami tetap melaporkan inisiatif-inisiatif alam sekitar dan kemasyarakatan yang merupakan sebahagian daripada amalan kemampanan kami.

Kami menjaga kestabilan dan integriti pasaran modal Malaysia dan justeru itu, kemampanan adalah penting bagi kami. Dalam jangka masa panjang, kemampanan bukan sahaja memastikan perjalanan operasi pasaran modal yang stabil, tetapi ia juga terus bertumbuh dan menarik minat komuniti pelabur yang semakin menekankan aspek kemampanan dalam proses pelaburan mereka.

Kami juga percaya bahawa Rangka Kerja Kemampanan Bursa Malaysia untuk syarikat-syarikat tersenarai akan menghasilkan pendedahan data prestasi kemampanan yang lebih baik. Matlamat kami bukan sahaja agar syarikat-syarikat tersenarai mendedahkan prestasi mereka, tetapi juga agar mereka memupuk amalan-amalan mampan dalam perniagaan mereka. Kami mahu agar syarikat-syarikat tersenarai ini menyedari bahawa peningkatan prestasi bagi isu-isu penting akan menghasilkan impak positif kepada keuntungan, selain menarik minat pelabur bertanggungjawab yang semakin meningkat. Bagi membolehkan syarikat-syarikat tersenarai kami merebut peluang ini, kami telah menyediakan lebih 25 program sokongan untuk mereka pada 2016 yang telah dihadiri lebih 800 peserta. Kami juga telah membantu lebih 100 syarikat tersenarai dalam kitaran pelaporan kemampanan pertama mereka dan pertumbuhan strategi kemampanan di dalam organisasi mereka.

Antara cabaran yang kami hadapi adalah segi kekurangan bakat tempatan, terutamanya kerana kami merupakan satu-satunya bursa di negara ini di mana rangkuman kerja kami sangat khusus. Kami memberi penekanan ke atas aspek penarikan minat dan pengekalan bakat, dan tumpuan kami adalah ke atas pembangunan kakitangan menerusi pelbagai program latihan sepanjang tahun. Sebagaimana bursa-bursa saham yang lain, kami juga berdepan dengan peningkatan risiko teknologi maklumat seperti ancaman siber atau ralat teknologi yang boleh mengakibatkan gangguan teruk ke atas operasi bursa. Bagaimanapun, kemajuan teknologi turut membuka peluang-peluang menarik untuk kami mengembangkan perkhidmatan melalui peningkatan kapasiti dan kebolehcapaian. Kami memantau secara dekat kemajuan-kemajuan teknologi yang berlaku bagi menentukan kesannya ke atas kami dan bagaimana kami boleh menggunakannya bagi mendapatkan segmen-segmen pasaran baharu untuk manfaat kami.

Kami berbesar hati memaklumkan kepada para pemegang berkepentingan kami bahawa Bursa Malaysia masih kekal sebagai 3 syarikat tersenarai Malaysia teratas dalam Channel NewsAsia Sustainability Ranking bagi tahun ketiga berturut-turut. Kami juga masih kekal sebagai konstituen dalam Indeks Bursa Malaysia FTSE4Good walaupun terdapat peningkatan dalam julat rangkuman bagi Pasaran Baru Muncul iaitu daripada 2.0 kepada 2.2 dalam semakan Disember 2016. Semakan oleh FTSE Russel ini merupakan satu inisiatif untuk merapatkan perbezaan julat rangkuman di antara Pasaran Baru Muncul dan Pasaran Maju.

Maju ke hadapan, kami akan terus menumpukan perhatian ke atas strategi kemampanan kami dari segi peluang dan risiko, selain komitmen kami ke atas penambahbaikan dan pendedahan lanjut. Ini termasuk meneroka peluang-peluang untuk Bursa Malaysia menyumbang kepada Sasaran Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN SDG), menyokong objektif-objektif pembangunan global serta menangani cabaran-cabaran ekonomi, sosial dan alam sekitar yang kritikal seperti perubahan iklim dan kesamarataan jantina.

Datuk Seri Tajuddin bin Atan
Ketua Pegawai Eksekutif